Tuesday 26 October 2010

SABAH TERAJUI RENEWABLE ENERGY



Oleh: DATUK IR. BAHARIN BIN DIN

TENAGA yang boleh diperbaharui (Renewable Energy) merupakan salah satu sumber tenaga dalam ‘5 Fuel Policy’ Kerajaan Malaysia selain daripada minyak diesel, hidro, gas dan arang batu. Mengikut dasar tenaga yang boleh diperbaharui (RE Policy) yang sedang berkuatkuasa ketika ini, sasaran penggunaan RE ialah 5% daripada jumlah kapasiti janaan negara.

Di Negeri Sabah, SESB telah menandatangani lima (5) Perjanjian Pembelian Tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy Power Purchase Agreement) sejak tahun 2002 lagi dengan lima (5) syarikat Penjana Bebas (IPP) dan kini sedang berbincang dengan 10 buah syarikat lagi untuk membangunkan stesen janakuasa berasaskan RE seperti biomass, biogas , hidro dan geothermal.

Setakat ini sebanyak 32MW telah disalurkan ke Sistem Grid Sabah oleh tiga (3) Syarikat yang menggunakan sumber biomas dan satu (1) syarikat menggunakan hidro. Ini merupakan 2.8% (peratus) daripada kapasiti janaan yang sedia ada di negeri Sabah berbanding dengan hanya 0.5% di peringkat kebangsaan.

Justeru itu, negeri Sabah merupakan peneraju dalam penggunaan RE sebagai sumber janaan untuk sistem pembekalan elektrik di negara ini.

SESB telah menggunakan semua tenaga yang dijana daripada stesen janakuasa RE dan ini menunjukkan kesungguhan SESB untuk menyumbang ke arah penggunaan teknologi hijau secara berkesan.

Kos pembelian sumber tenaga RE ( Biomass ) melalui Syarikat IPP ini juga telah ditetapkan oleh kerajaan dalam kadar 17 sen ke 21 sen seunit bergantung pada jenis sumber tenaga RE.

Kos ini sesuai dengan struktur tarif yang sedia ada kerana purata kos jualan SESB pada ketika ini ialah 25.22 sen berbanding dengan kos pengeluaran pada ketika ini ialah 41.55sen (tanpa subsidi minyak) atau 30.22 sen (dengan subsidi minyak). Ini menunjukkan bahawa terdapat ‘negative margin’ 5 sen (dengan subsidi) pada setiap unit yang dijual oleh SESB. Tarif elektrik yang berkuatkuasa sekarang ini tidak berubah sejak tahun 1986.

Bagaimanapun berdasarkan situasi pada masa ini, RE tidak boleh dijadikan stesen janakuasa tambatan (base load) terutama sekali di Pantai Timur Sabah kerana kapasitinya yang kecil dan bekalan bahan bakar yang kurang ‘reliable’.

SESB akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang mengusahakan RE ini bagi menampung permintaan tenaga di negeri ini dan seterusnya menyokong usaha kerajaan untuk mengamalkan teknologi hijau.

(NOTA: Datuk Ir. Baharin Bin Din merupakan Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB))

No comments:

Post a Comment