Saturday 30 October 2010

USBO GUNA PENDEKATAN HATI KE HATI



Oleh: ISMAIL AHMAD

SURVIVAL etnik Bajau dalam masyarakat majmuk Malaysia mendorong pucuk pimpinan United Sabah Bajau Organisation (USBO) mengambil pendekatan dari hati ke hati untuk meyakinkan mereka bahawa suara mereka didengar oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui perlantikan tokoh USBO ke jawatan penting kerajaan.

Masyarakat Bajau yang semakin mendapat tempat di dalam UMNO, telah memberi ruang kepada pemimpin mereka untuk menduduki kerusi Naib Presiden UMNO, Menteri Kabinet, Speaker Dewan Rakyat dan Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah.

Sehubungan itu, Presiden USBO, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said merayu agar masyarakat Bajau (Suluk) di Batu Sapi turun mengundi bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional, Datin Linda Tsen Thau Lin dengan majoriti yang lebih besar.

Menurut Salleh, walaupun tidak semua yang dikehendaki masyarakat Bajau dapat dicapai dalam masa yang singkat kerana BN mengamalkan konsep perkongsian kuasa secara saksama, namun kedudukan masyarakat ini dalam status ekonomi, sosial dan politik semakin terbela.

“Kita bukan lagi penumpang kepada pembangunan. Kita turut menjadi rakan kongsi kepada arus perdana pembangunan negara melalui kecapaian kita dalam bidang perikanan, pertanian, rumpailaut dan sebagainya,” ujar Salleh yang menjelaskan semua ini berjaya dilaksanakan melalui kestabilan politik.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, menegaskan semua ahli USBO yang majoritinya menjadi ahli UMNO telah menunjukkan komitment tegas, menyokong BN selama ini dan budaya menghormati parti dan pemimpin akan terus diamalkan.

Sebagai pemimpin etnik Bajau, Salleh menekankan bahawa kejayaan sesebuah kerajaan bergantung kepada komitmen rakyatnya yang memberikan sokongan padu dan mengambil peluang aktif dalam setiap program yang dianjurkan.

“Masa untuk kita menangisi nasib sudah lama berlalu. BN telah membuka peluang yang maha luas hasil usaha keras pemimpin dan sokongan padu rakyat. Jadi kita kena rebut semua peluang yang ada dan meneruskan tradisi kita, pantang menyerah kepada takdir,” tegas Salleh yang juga Mantan Ketua Menteri Sabah.

Kata Salleh, tugas untuk mengubah nasib dan masa hadapan mereka terletak di tangan mereka sendiri dan ianya wajib ditunaikan pada pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi pada 4 November kelak.

Salleh yang ditemui selepas majlis perjumpaan dengan Ketua Masyarakat Bajau di sebuah restoran di Sandakan, mengakui bahawa pihaknya telah melakukan persiapan rapi dan ‘all-out’ memberikan sokongan padu kepada calon BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi.

“Kita meyakini kewibawaan Ketua Menteri selaku Pengarah Pilihanraya Kecil Batu Sapi dan semua jentera BN yang dijana untuk meningkatkan majoriti dan mengekalkan kerusi ini pada 4 November nanti,” ujar Salleh yang mengakui telah menemui ramai pemimpin etnik Bajau secara hati ke hati agar lebih mesra dengan mengekalkan jati diri mereka.

No comments:

Post a Comment