Saturday 30 October 2010

DUA DR DAP MAIN SILANGKATA DI BATU SAPI?



Saudara Pengarang,

APABILA terbaca artikel dari pembangkang yang dimuatkan dalam portal terkenal Sabahkini.net; selain menggelikan hati pembaca tentang kelibat para pemimpinnya, malah pembaca kebingungan apabila mengamati ungkapan mereka, terutamanya dua pemimpin DAP, Dr Hiew King Cheu (Ahli Parlimen Kota Kinabalu) dan seorang lagi Dr Edwin Bosi yang dikhabarkan pernah melompat banyak parti sebelum ‘bercina-buta’ dengan DAP.

Apabila mengikuti kenyataan Dr Hiew berhubung risalah yang diedarkan SAPP yang mempertikai ketelusan KL ketika mengagehkan pembangunan di Sabah terutamanya jalanraya, Hiew seolah-olah memberikan jawapan terhadap pertanyaan risalah SAPP itu bagi pihak Ketua Menteri Sabah.

Agak aneh sedikit gelagat DAP itu kerana sepatutnya Hiew tidak perlu menyentuh soal tersebut kerana apa juga isu yang dibangkitkan Datuk Yong berhubung ketidak telusan KL, Hiew tidak perlu menyanggah isu tersebut dengan perkataan lain yang boleh disimpulkan bahawa Hiew seolah-olah pemimpin dan penyokong BN.

Ditambah tokok lagi, apabila Dr Edwin Bosi pula seolah-olah meragui kelibat Datuk Yong akan berhijrah ke BN selepas PRK Batu Sapi, yang kononnya akan memporak- perandakan BN. Persoalannya, kenapa pula Dr Edwin Bosi yang merasa gusar dan risau sedangkan beliau adalah pemimpin DAP.

Bak kata pepatah, BN yang kehujanan tetapi mengapa pula Dr Edwin yang basah kuyup. Mungkin Dr Edwin secara senyap-senyap sudah berhijrah ke BN?

Manakala di pihak calon PKR-PR Haji Ansari Abdullah, selain balik-balik jatuh ke laut, beliau pula berminat benar meneruskan perdebatan biarpun antara beliau dengan Datuk Yong Teck Lee selepas Datuk Musa menolak cabaran Yong dengan alasan isu yang didebatkan merupakan isu lapuk dan sudah basi.

Ramai pengundi Batu Sapi keliru dengan cabaran Haji Ansari itu yang mereka sifatkan suatu kejanggalan dalam politik masakini kerana sepatutnya pemimpin seteru dengan pembangkang seperti BN yang harus didepani bersama dalam perdebatan itu; supaya isu-isu yang dibangkitkan seperti isu kuasa autonomi dan slogan ‘Sabah for Sabahan’ mendapat reaksi Musa untuk dinilai rakyat dan pengundi Batu Sapi sendiri.

Hakikatnya rakyat Sabah, khususnya pengundi Batu Sapi ingin mendapat impak terbaik dan justifikasi sebenar kegagalan pemimpin BN menangani isu tertunggak itu yang sebenarnya ia bukanlah isu lapuk atau sudah basi seperti yang didakwa BN sebaliknya ia merupakan suatu kegagalan secara total bagi pemimpin BN Sabah merumuskan perkara tersebut dengan Kuala Lumpur.

Salam damai,

MOHD FAIZAL OKAL, BATU SAPI

No comments:

Post a Comment