NUNAH Liyien, 60, dan Atikah Tambun, 57, dari Kampung Segaliud, Batu Sapi dilihat sering beiringan mengunjungi dari rumah ke rumah di sekitar kampung mereka sejak empat hari lalu.
Namun mereka bukanlah suka-suka mahu bertandang kerana kedua-dua sahabat karib sejak kecil ini mempunyai tugas berat untuk merayu penghuni rumah yang dikunjungi terutama dari kalangan wanita, supaya memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi pada 4 Nov ini.
"Bukan saya dan Atikah sahaja yang bekerja keras untuk memenangi hati kaum wanita untuk menyokong Barisan Nasional (BN) dan mungkin juga wanita lain dari parti pembangkang.
"Ini kerana kami melihat undi wanita sangat penting untuk menentukan kemenangan calon BN nanti, sebab itu kami berusaha sedaya upaya siang dan malam untuk mendekati kaum wanita di kampung kami," kata Nunah kepada Bernama.
Kepentingan undi kaum wanita di Batu Sapi turut diakui oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin.
"Jumlah pengundi wanita mungkin mencecah hampir separuh daripada 25,582 pengundi berdaftar dan oleh itu BN akan berusaha habis-habisan memancing undi pemilih wanita," katanya.
Beliau juga berkata sudah tiba masanya calon wanita yang berkemampuan diberi peranan memimpin dan mentadbir tanpa wujud sebarang diskriminasi.
BN meletakkan Datuk Linda Tsen untuk bertanding menentang calon lelaki dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Saya optimis calon BN akan mendapat sokongan rakyat atas tiga memontum iaitu harapan suara wanita Sabah sampai ke peringkat Parlimen, di samping Linda adalah anak jati Sandakan dan reputasi BN yang cukup baik yang telah membawa pelbagai macam pembangunan untuk rakyat," kata Armani.
Beliau berkata keputusan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman meletakkan balu Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu penyandang jawatan Wakil Rakyat Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, adalah tepat yang wajar disokong oleh semua pihak.
"Pemilihan ini begitu signifikan buat golongan wanita dalam parti mahupun seluruh wanita di negeri ini. Ini bermakna harapan kita sandarkan sepenuhnya kepada beliau (Linda Tsen)," katanya.
Armani berkata wanita BN memandang tinggi keterbukaan calon BN memikul tugas sebagai calon dan bakal menggalas tanggungjawab sebagai seorang Anggota Parlimen.
No comments:
Post a Comment