Friday, 29 October 2010

ISA BUAT PENYAMAR SULTAN SULU?



HARIMAU.... Sultan Julami Kiram Prince Hadji Rodinood menunjukkan pasport antarabangsa Filipina dan bukannya Pasport Kerajaan Sulu. Bukankah beliau ini tidak ubah seperti kucing kurap yang mengaku 'Harimau' (Hari-Hari Mau). Gambar kecil ialah kad pengenalan Sulu yang dirampas polis di Lahad Datu.

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

PENULIS Kontroversi Sabah, Mutalib M.D mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera untuk menahan kesemua penyamar Sultan Sulu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengganggu ketenteraman awam rakyat Malaysia.

“Rakyat Sabah terus dibayangi ketakutan dengan perkembangan mutakhir, terutama semakin ramai Sultan Palsu yang muncul mendakwa mereka Sultan Sulu atau Sultan Sabah. Paling mendebarkan mereka mengeluarkan bukan sahaja Sijil Lahir, malah kini Kad Pengenalan Kesultanan Sulu,” ujar Mutalib yang menyifatkan Polis Malaysia terlalu lembab sekalipun berpuluh laporan dibuat.

Secara logiknya, kata Mutalib, apa locus-standi seseorang itu mendakwa sebagai Sultan Sulu sedangkan perlantikan dibuat tidak melalui ‘Rumah Bicara’ (Majlis Waris Sultan) yang sah dan dibuat secara Ex-Parte.

“Jika orang Utan di Sepilok boleh bercakap, mereka juga akan mendakwa diri mereka sebagai Raja Sabah atau Sultan Borneo kerana mereka mendapat layanan kelas pertama di Sepilok,” ujar Mutalib yang jengkel dengan dakwaan begitu ramai Sultan palsu.

Mutalib yang masih menjalankan kajian di luar negara untuk buku terbarunya, mengulas mengenai isu kad pengenalan untuk warga Sulu seperti yang disiarkan Sabahkini.net bertajuk ‘LD POLICE SEIZES SULU IC’.

Mengikut undang-undang, jika seorang warga Negara Malaysia mendakwa dirinya memiliki kerakyatan negara lain, beliau perlu menyerahkan kerakyatan Malaysianya dan tidak boleh tinggal di negara ini, melainkan dengan kebenaran Kerajaan Malaysia.

“Tidakkah ganjil jika mereka yang mengaku Sultan Sulu memegang Pasport Filipina? Apa agenda sebenar mereka? Di mana Negara Sulu sekarang? Jika mereka ada sijil lahir dan kad pengenalan, apakah mereka tidak boleh membuat pasport Sulu? Jika ini berlaku, apakah Kerajaan Malaysia akan memperakui Pasport Sulu?,” tanya Mutalib yang menjelaskan Kesultanan Sulu sudah hilang daripada muka bumi seperti juga lenyapnya Kesultanan Melayu Melaka.

Mereka yang memiliki Mykad Malaysia dan dalam masa yang sama mendakwa sebagai Sultan Sulu atau Sultan Borneo, selain daripada negeri beraja di Malaysia, maka kata Mutalib, sewajarnya ditangkap dan dipenjarakan kerana menderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Ynag Di Pertuan Agong.

Mereka yang mendakwa sebagai Sultan (selain daripada Sultan di Malaysia), kata Mutalib perlu menyerahkan Mykad mereka kepada Kerajaan Malaysia dan membuat dakwaan di luar Negara, bukannya di Malaysia.

“Polis sewajarnya terus menangkap mereka dan menggunakan Akta Ketenteraman Aman dan Akta Darurat untuk menyelesaikan masalah dokumen palsu dan kerakyatan songsang yang didalangi oleh para Sultan Palsu ini. Apakah undang-undang Negara kita tidak boleh digunakan ke atas mereka semata-mata kerana mereka mendakwa sebagai Sultan dan boleh sewenang-wenangnya membakar bendera?,” tanya Mutalib yang agak kesal dengan sikap Polis Malaysia yang sentiasa mengganggu beliau untuk mendapatkan keterangan, sedangkan kesemuanya telah didedahkan di dalam beberapa buku beliau.

Mutalib yang telah menulis lebih 20 buah buku, termasuk IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir; mencadangkan agar polis menubuh unit khas bagi menyiasat laporan soal kerakyatan, dokumen palsu dan penyamaran.

Berhubung bayaran Cession sejumlah RM5,300 yang dijelaskan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada Waris Sultan Sulu, Mutalib menegaskan ia adalah bayaran ‘nafkah’ kepada waris; bukannya hak mereka untuk menuntut Sabah yang telah merdeka, pada mulanya, sebagai sebuah negara dan kini sebuah negeri di Malaysia.

Lagipun kata Mutalib, tidak ada sebarang pihak boleh menggunapakai wang tersebut dan hanya disimpan oleh Peguam Ulka T. Ulama yang menjadi pemegang amanah kepada semua harta Sultan Sulu termasuk wang Cession yang tidak pernah gagal dijelaskan oleh Kerajaan Sabah sekalipun tidak ada lagi waris yang sah.

“Tiba masanya polis bangun daripada tidur dan menghadapi tugas sebenar mereka untuk membersihkan imej polis disebabkan pendatang asing yang tidak memiliki sebarang dokumen dan pelaku jenayah semakin ramai. Saya tidak percaya polis tidak dapat mengesan mereka,” ujar Mutalib yang mendedahkan mereka begitu mudah dikenali daripada tanda ‘tanam cacar’ pada lengan mereka.

Tegas Mutalib, bentuk tanda tanam cacar rakyat Sabah ialah bulat, manakala warga asing ialah panjang kerana bekas goresan pisau dan bukannya jarum; hampir sama dengan warga Semenanjung.

“Saringan yang mudah dapat dilakukan dalam masa tidak sampai satu saat dan tidak perlu membuang masa untuk memeriksa dokumen ketika saringan dilakukan,” kata Mutalib yang menggesa agar pihak berkuasa lebih proaktif dan kreatif menangani masalah jenayah di Sabah akibat kehadiran ramai Sultan Palsu yang turut terlibat dalam kegiatan ‘Pemerdagangan Orang’, namun gagal dicekup akibat kelicikan mereka.

No comments:

Post a Comment