SETIAUSAHA Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta pengundi menilai terlebih dahulu kredibiliti politik Datuk Yong Teck Lee sebelum memilih calon Parti Maju Sabah (SAPP) itu dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi 4 November ini.
Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata, kerjaya politik Presiden SAPP itu sarat dengan drama tikaman dari belakang selain beberapa keputusan yang dibuatnya semasa menjadi Ketua Menteri Sabah penuh dengan kontroversi.
"Yong merupakan salah seorang yang mendesak Presiden PBS (Parti Bersatu Sabah) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk meninggalkan BN. Bagaimanapun apabila melihat PBS hampir kalah, Yong meninggalkan PBS dan membentuk parti baru dan seterusnya menyertai BN, sebelum mengisytiharkan keluar pula daripada BN pada 2008," kata Abdul Rahman.
Beliau berkata sehubungan itu, kredibiliti Yong membela rakyat Sabah dengan memainkan slogan ‘Sabah Untuk Orang Sabah’ dan ‘Autonomi Untuk Sabah’ perlu dipersoalkan kerana beliau tidak pernah konsisten dalam perjuangan politiknya.
"Konsep Sabah Untuk Orang Sabah memang sedap didengar tetapi sukar dilaksanakan dalam persekutuan. Lagipun slogan yang dimainkan SAPP ini bukanlah perkara baru, sebaliknya kerap ditimbulkan setiap kali menjelang pilihan raya walaupun ia telah gagal mendapat sokongan," katanya.
Abdul Rahman berkata hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan adalah jelas dan pendekatan Sabah untuk mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan selama ini tidak mengurangkan hak negeri tersebut.
"Tindakan untuk memilih titik perbezaan dengan kerajaan pusat cuma akan merugikan rakyat Sabah sendiri," tambahnya.
No comments:
Post a Comment