Oleh: BATU API
CALON Parti Maju Sabah (SAPP) PRK Parlimen Batu Sapi, Datuk Yong Teck Lee menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengabaikan pembangunan lebih 10 tahun lalu, khususnya yang melibatkan infrastruktur di kawasan Perkampungan Pukat, dekat bandar Nam Tung dalam kawasan Parlimen Batu Sapi; termasuklah pengeluaran geran tanah kepada penduduk di situ.
Tegasnya, beliau sedih melihat bahawa kawasan Parlimen Batu Sapi terus terpinggir daripada arus pembangunan BN yang sering mencanang kononnya limpahan peruntukan berbillion ringgit untuk Sabah tetapi kebanyakan kawasan di Sabah termasuk Batu Sapi masih tidak berubah.
“Saya masih ingat dengan jelas bahawa infrastruktur jambatan di Kg Pukat ini diluluskan oleh saya ketika itu selaku Ketua Menteri Sabah pada tahun 1997 dan begitu juga geran tanah sebahagiannya sudah dapat bersama-sama dengan para pemilik tanah di seluruh negeri Sabah sekitar tahun 1997/1998,” Kata Datuk Yong dalam satu sidang akhbarnya ketika melawat kawasan Kg Pukat pada Rabu.
Beliau yang diiringi beberapa pemimpin SAPP termasuklah mantan Pemimpin Kemajuan Rakyat, Tan, menyifatkan susun atur pembangunan di kawasan Parlimen Batu Sapi dalam keadaan ‘lintang pukang’ dan berada di paras minima.
“Kita dapat lihat persekitaran di sebuah restoran tepi pantai Ocean King. Lanskapnya langsung tidak menarik, lot letak kereta tidak teratur dan sempit. Manakala kawasan perumahan Taman Bandar Indah dan Sibuga kotor tidak terurus dengan baik. Mengapa tiga pemimpin besar dalam BN yang mewakili Sandakan ini tidak dapat aturkan masalah tersebut,” tegas Datuk Yong.
Datuk Yong yang juga Presiden SAPP menegaskan bahawa rakyat ada sebab dan alasan yang kukuh untuk mengatakan kerajaan BN sekarang tidak mampu meneruskan pemerintahan mereka di Sabah dan negara pada amnya kerana kegagalan mereka memenuhi aspirasi rakyat seperti mana janji mereka dahulu.
Ketika ditanya berhubung isu mahu kuasa autonomi dikembalikan kepada Sabah, isu royalty minyak, 20 perkara dan Pulau Labuan pihak pemimpin BN sifatkannya sebagai isu lapuk dan tidak relevan lagi Yong berkata,
“Itu bukan isu lapuk tetapi sebaliknya ia adalah isu tertunggak yang kita tetap teruskan untuk menagihnya daripada pemimpin persekutuan. Kita bukan main-main atau sandiwara dalam soal itu, malah kita serius dan kita akan bangkitkannya di Parlimen selepas kita diberi mandat oleh rakyat Batu Sapi,” tegas Yong.
Mengenai kenyataan liar pemimpin DAP Sabah, terutamanya Dr Hiew King Chew, Yong berkata, biarlah Hiew bercakap kalau apa yang dicakapkannya itu ada kebaikan dari segi kerjasama antara PR dan SAPP, tetapi lebih baik Hiew tutup mulut jika dia (Hiew) bercakap ala kebudak-budakan.
“Agak membuang masa melayani karenah pemimpin hipokrit seperti Hiew yang tidak memahami apa dia kerjasama. Kita boleh berkawan tetapi tidak semestinya berkahwin,” kata Yong lagi.
Dalam pada itu, Yong turut menegaskan bahawa insiden pergaduhan yang berlaku tumbuk-menumbuk penyokong PKR di Lapangan Terbang dekat sini berhubung masalah calon harus diselesai dengan cara yang terbaik dan tertutup; yang sekaligus melabelkan PR sebagai kurang kematangan yang mencetuskan kejadian yang memalukan di mata masyarakat.
No comments:
Post a Comment