Wednesday 27 October 2010

25,582 PENGUNDI KINI JADI ‘KING MAKER’



Oleh: BATU API

SEJURUS selepas penamaan calon selesai di Dewan Masyarakat Sandakan, masing- masing mula mengatur langkah dengan gaya dan strategi tersendiri untuk meraih sokongan kira-kira 25,582 pengundi berdaftar di Parlimen Batu Sapi yang akan menjadi ‘King Maker’ menentukan siapakah yang akan menjadi wakil mereka di Dewan Rakyat pada 4 November kelak.

Bagi SAPP, tidak menghadapi persoalan besar sama ada dari segi popularitinya mahupun dari segi matlamat dan tujuan SAPP berminat untuk bertanding di PRK Batu Sapi kerana pertama atas prinsip kepimpinan parti dan kedua kehendak para ahli dan penyokong SAPP Batu Sapi itu sendiri.

Kesungguhan SAPP itu yakin mereka akan memenangi PRK kali ini berdasarkan sokongan moral ahli parti itu benar-benar tulen kerana ribuan pengiring calon SAPP yang mengiringinya ke pusat penamaan calon terdiri daripada warga tempatan dan bukan diupah, sebaliknya jika berbanding dengan penyokong dua lagi calon adalah dari kalangan yang tidak dikenalpasti status kewarganegaraannya malah diupah?.

Mengenai dakwaan Datuk Musa Aman kononnya Parlimen Batu Sapi adalah kubu kuat BN, terpulanglah kepada rakyat dan pengundi Parlimen Batu Sapi untuk menilainya kerana Batu Sapi seolah-olah sudah dilupakan oleh pemimpin BN sebelum ini yang dapat dilihat buktinya kemalapan kawasan itu seolah-olah tidak ada pembangunan yang besar, yang boleh dimegah-megahkan BN.

Malahan nama Parlimen Batu Sapi seketika menjadi gah kerana BN yang mahu mempertahankan kerusi itu dari dirampas pembangkang khususnya SAPP dalam PRK selepas penyandangnya mendiang Edmund Chong Ket Wah terkorban dalam satu nahas jalanraya baru-baru ini.

Para pengundi Batu Sapi sehingga kini masih tertanya-tanya di hati nurani mereka sendiri, mengapakah kawasan mereka selama ini tidak diambil peduli oleh pemimpin pemimpin BN, sebaliknya ketika mereka memerlukan pengundi Batu Sapi barulah nampak kelibat mereka di khalayak ramai memujuk ini dan itu.

Kini, rakyat dan pengundi Batu Sapi lebih matang dalam memperhitungkan politik yang bersifat 'double standard' untuk disandarkan sebagai pembela nasib masa depan anak cucu cicit mereka sendiri sebaliknya mereka (pengundi/rakyat Batu Sapi) sudah bersedia menempah kapal layar baru untuk meninggalkan 'kapal layar usang dan daif-BN' yang tidak mampu lagi mengharungi lautan samudera untuk sampai ke PRU13.

Kepimpinan Datuk Yong Teck Lee dan SAPP masih relevan dan mampu menggalas tugas untuk merungkai segala-galanya di Dewan Rakyat Parlimen sekiranya beliau mendapat mandat dari rakyat Batu Sapi kali ini kerana Yong tetap akan lantang menyuarakan kemungkaran dan penyelewengan kerajaan BN sebagai punca pengabaian pembangunan kawasan Parlimen Batu Sapi beberapa dekad berlalu.

Dalam pada itu, penampilan Linda Tsen dalam PRK ini dilihat tidak mampu memperbaiki kepincangan yang berlaku di Parlimen Batu Sapi yang ditinggalkan mendiang suaminya, Edmund Chong. Linda Tsen masih 'kosong' dalam mentadbir kawasan dan kehadirannya di situ boleh disifatkan sebagai ‘window dressing' semata-mata.

Kemungkinan Pairin masih berpegang kepada trend dan strategi politik lama kerana jika menggunakan Linda Tsen mungkin dapat meraih banyak undi kerana 'soal simpati'. Tetapi dalam percaturan politik, soal simpati itu perkara lain yang perlu diketepikan dan yang paling penting ialah kecekapan dan kemampuan Tsen mentadbir rakyat di kawasan. Rakyat akan tolak Tsen jika sekadar menonjolkan soal simpati yang lebih bersifat peribadi.

No comments:

Post a Comment