Sunday, 31 October 2010

WAJARKAH ISU 20 PERKARA DI KAKI LIMA?



Oleh: JACKSON LU:

POLITIK Sabah sejak tahun 1963 selepas Sabah, Sarawak dan Singapura yang turut sama MALAYA membentuk MALAYSIA tidak sunyi dari mengharungi pelbagai polimik politik dalaman. Tanpa kehadiran Sabah, Sarawak dan Singapura (tiba-tiba keluar dari Malaysia 1965) tidak akan ada nama MALAYSIA disebut di carta dunia, malah di PBB hingga ke hari ini.

Disebabkan Sabah dan Sarawaklah, Malaysia terus menjadi sebutan pemimpin pemimpin dunia salah satu negara yang pesat membangun di rantau Asia, termasuklah kewibawaan pemimpin-pemimpin negara ini mampu bersaing malah berkebolehan berfikir setara dengan kebijaksanaan pemimpin lain di dunia yang kita rakyat Sabah tidak boleh nafikannya.

Bagaimanapun dari aspek politik wilayahnya, khususnya Sabah dan Sarawak, pihak Kuala Lumpur masih mempunyai isu-isu tertunggak yang belum diselesaikan sepenuhnya seperti yang terkandung dalam isu 20 Perkara yang dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah sekitar tahun 1962 terdiri daripada Allahyarham Tun Fuad Stephen (Donald Stephen), Tun Mustapha, Datuk G.S Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew dan beberapa pemimpin lain lagi.

Malahan kandungan 20 Perkara telah pun dibincang dalam mesyuarat IGC (Inter Government Committee) bersama tiga wilayah seperti Sabah, Sarawak dan Malaya sebelum dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kemelut isu rakyat Sabah dan Sarawak yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin Persekutuan bertindak menodai Perlembagaan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa sejak kebelakangan ini iaitu selepas ‘Tsunami Politik’ tahun 2008 selepas PRU-12 pemimpin Kuala Lumpur dalam keadaan terhimpit dan terdesak mahu atau tidak, walaupun sudah terlambat akhirnya mereka terpaksa tunduk kepada kemahuan rakyat Sabah dan berjaya memecah kebuntuan isu 20 Perkara apabila perkara 4 (Borneosisasi) kerajaan Persekutuan telah melantik lima Pegawai Awam berasal dari Sabah mengetuai Jabatan Persekutuan yang penting di Sabah dan pertama kalinya menyambut ‘Hari Malaysia’.

Meskipun begitu, rakyat Sabah masih terus memburu saki-baki isu ketidak puasan hati mereka yang mereka dakwa terdapat isu tertunggak belum ditunaikan seperti kuasa autonomi wilayah Sabah, ‘Sabah for Sabahan’ dan keadilan pengagehan sumber kekayaan negeri Sabah seperti minyak dan gas daripada 5 peratus kepada sekurang- kurangnya 20 peratus.

Aspirasi rakyat berdasarkan maklumat 20 Perkara pada mulanya diperjuangkan oleh mantan Pengarah Insitut Kajian Sabah (IDS) Datuk Dr Jeffrey Kitingan sekitar tahun 1990-an ketika itu Sabah ditadbir oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, membuatkan Jeffrey merengkok ke dalam tahan ISA selama lebih dua tahun.

Titik tolak daripada kejadian tersebut, secara tidak langsung ia telah menyemarakkan lagi api kebencian rakyat Sabah terhadap Kuala Lumpur yang rata-ratanya menganggap penahan Jeffrey itu dirancang begitu rapi oleh para pemimpin Kuala Lumpur yang menidakkan terus hak dan tuntutan rakyat Sabah sepertimana yang terkandung dalam Isu 20 Perkara.

Ketika kempen semakin sedang rancak berjalan di PRK Batu Sapi, kelihatan isu serupa terus didendangkan oleh SAPP untuk meraih sokongan rakyat Sabah kerana tidak ada isu penting yang berjaya digubah untuk menarik hala sokongan para pengundi dan dalam masa yang sama ramai pemimpin cuba memadam api yang cuba dinyalakan SAPP dengan menyifatkan isu yang dikitar semula SAPP sebagai isu lapuk dan basi.

Menyemarakkan lagi kempen berkenaan, SAPP semakin menggunakan taktik berkenaan untuk membakar kebencian rakyat dan pengundi Batu Sapi dengan mencabar Ketua Menteri Sabah berdebat dengan beliau berhubung perkara tersebut; sebaliknya calon PKR, Haji Ansari Abdullah pula yang mendesak Yong agar berdebat dengannya setelah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menolak mentah-mentah cabarannya.

Ramai pemerhati politik mencadangkan jalan keluar kepada isu ini agar tidak dipolitikkan dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk merumuskan kembali ‘Isu 20 Perkara’ melalui forum yang lebih sesuai seperti Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat kerana tidak praktikal membincangkan isu negara di kaki lima pilihanraya kecil.

“Supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan di dalam kesempitan, Isu 20 Perkara harus menjadi Usul di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Senario akan lebih menarik dan berkesan jika dibincangkan secara legislatif,” ujar seorang pemerhati politik daripada Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment