Saturday, 30 October 2010

TOLAK CALON TAK LAKU-LAKU



Oleh : AL KAMARUL AB LATIF

PENGUNDI di Parlimen Batu Sapi diminta agar tidak memperjudikan nasib mereka dengan memilih calon yang ‘tak laku-laku’ yang ditampilkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihanraya kecil 4 November ini.

Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata calon PKR, Ansari Abdullah bukan sahaja orang luar malah menerusi rekod Ansari sudah hampir lapan kali jadi calon dan tewas dalam pilihan raya sebelum ini.

“Ini bukan calon kitar semula tapi calon tak laku. Rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi ini bukan pengundi bodoh untuk memilih calon tak laku. Pengundi mahu calon terbaik yang boleh membela nasib mereka. Barang tak laku tak ada guna. Selalunya barang tak laku kita buang terus, dah tak boleh pakai lagi”, katanya.

Jelas beliau lagi kejadian calon PKR terjun laut adalah satu simbolik di mana sepatutnya calon PKR itu berada.

“Kalau nak pembangunan, nasib rakyat dibela, pengundi tiada pilihan selain memilih calon BN. Tapi kalau nak belajar bergaduh, terjun laut, baling kerusi memang PKR cukup pakar. Oleh itu saya yakin pengundi di sini cukup bijak dan matang untuk membuat pilihan yang tepat”, ujarnya.

Pengundi Batu Sapi juga kata beliau lagi perlu menolak calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee kerana agendanya jelas untuk kepentingan peribadi.

“Sejarah menunjukkan Yong Teck Lee adalah pemimpin opportunis yang berkepentingan peribadi. Dia telah diberi banyak peluang masa berada dalam BN tapi hari ini nadanya cukup berbeza. Ini jelas menunjukkan dia adalah pemimpin yang tidak ada prinsip perjuangan tulen”, katanya.

No comments:

Post a Comment