Tuesday, 26 October 2010

BATU SAPI MASIH KUBU KUAT BN?



Oleh: JESSELTONTODAY

Pilihanraya kecil P.185 Batu Sapi, Sandakan menyaksikan pertembungan 3 penjuru antara PBS (BN), PKR (PR) dan SAPP. Semasa penamaan calon pagi tadi dilaporkan calon BN diiringi lebih kurang 10 ribu orang penyokong berbanding calon PR lebih kurang 300 orang. Calon SAPP pula jumlah penyokong yang mengiringi calonnya Yong Teck Lee boleh dikira dengan tangan.

Petanda awal ini sudah membayangkan kebenaran kata-kata Datuk Musa Aman, parlimen Batu Sapi adalah kubu kuat BN dan sebarang usaha untuk merampas Batu Sapi dari BN adalah tugas sukar buat Pakatan serta SAPP.

Pemilihan calon BN, Datin Linda Tsen isteri mendiang Datuk Edmund Chong adalah satu pilihan yang berani dan bijak. Selain mampu meraih simpati dari pengundi tempatan Batu Sapi, pemilihan calon wanita ini juga mampu merangsang lebih ramai kehadiran pengundi dari kaum wanita. Tidak cukup dengan itu, faktor calon selaku anak tempatan kelahiran Sandakan juga sebenarnya memberi kelebihan kerana dua calon PR dan SAPP ini merupakan calon luar.

Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan sifat ‘selfish’ beliau yang tidak mengambil kira pandangan dan suara penyokong PKR Batu Sapi yang inginkan anak tempatan Sandakan, OKK Hasnar Ebrahim dijadikan calon PKR di sana. Bayangkan jika Anwar Ibrahim berjaya menakluk Putrajaya besar kemungkinan Ketua Menteri Sabah pun dipegang oleh orang luar; dan itu tidak mustahil (lihat saja Azmin Ali pernah memegang jawatan Ketua PKR Sabah sebelum ‘ditendang’ oleh Jeffrey Kitingan).

Bagi SAPP dan Yong Teck Lee, kita tidak tahu apa sebenarnya yang ingin mereka capai dari pilihanraya ini. Jika menang sekalipun tidak banyak perubahan yang mampu mereka lakukan. Pengundi Batu Sapi bukannya bodoh. Mereka lebih matang dan tahu Yong Teck Lee tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib mereka dan hanya mengejar agenda peribadinya sama seperti Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, dijangka Barisan Nasional akan menang dalam PRK P.185 batu Sapi ini dengan majoriti berkurangan. Antara faktornya, bekas penyokong-penyokong USNO yang kecil hati kerana permohonan penubuhan Kelab USNO tidak dilayan menyebabkan anak Allahyarham Tun Mustapha sendiri nekad beralih angin membantu Pakatan Rakyat. Tidak diketahui adakah semua bekas penyokong USNO akan mengikut jejak langkah pemimpin mereka.

Di samping itu, faktor pengundi Cina yang dapat kita lihat dalam pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini banyak beralih kepada pembangkang. Adakah sentimen sama akan dapat kita lihat di parlimen Batu Sapi? Walaupun hanya mewakili lebih kurang 30% dari jumlah pengundi keseluruhan, sekiranya mereka beralih arah majoriti kemenangan BN pasti berkurangan dengan lebih besar lagi!

No comments:

Post a Comment