Oleh: KREW SABAHKINI.NET
KESEDIAAN AdUN Sekong, Datuk Haji Samsuddin Yahya menyelesaikan isu perumahan penduduk Kampung tradisi Lupak Meluas, Batu Sapi disambut baik oleh lebih 560 keluarga yang bersetinggan di pinggir kampung berkenaan setelah kerja-kerja menebus guna tapak siap setahun lalu.
Jurucakap penduduk Lupak Meluas, Daniel Abdul Ganih ketika menghubungi Sabahkini.net berkata, pihaknya mengalu-alu keprihatinan Adun Sekong mendengar keluhan dan rintihan mereka selama ini dan berjanji akan menyelesaikan masalah berkenaan segera.
“Kita tengok berita perdana TV3 tadi dan kita amat mengalu-alukan YB Samsuddin untuk menyelesaikan isu perumahan penduduk Lupak Meluas dengan segera bagi memastikan janji berkenaan tertunai dan bukan seperti janji Adun lalu,” ujar Daniel yang meminta rakyat Malaysia menjadi saksi dan berharap agar Samsuddin benar-benar ikhlas dan bukannya mempunyai niat tersirat sekadar meraih undi pada pilihanraya kecil 4 november 2010.
Kata Daniel, sejak isu berkenaan disiarkan di Sabahkini.net, penduduk kampung didatangi pelbagai pihak termasuk polis dan pegawai kerajaan secara senyap-senyap untuk mendapatkan data sebenar dan menyiasat aduan penduduk kampung.
“Kita percaya jika isu ini berjaya diselesaikan dengan sempurna, BN akan mendapat kepercayaan penduduk kampung yang telah terhakis sebelum ini. Jika BN benar-benar jujur mahu selesaikan masalah kita, tidak ada masalah untuk pulihkan keyakinan mereka. Jika tidak ditunaikan, mungkin kita terpaksa bayar pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Daniel yang begitu terharu dengan kesediaan Samsuddin mengumumkan isu berkenaan di media arus perdana.
Daniel turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Sabahkini.net yang tidak jemu-jemu menyiarkan masalah ini sehingga dianggap serius oleh BN pada pilihanraya kecil ini.
No comments:
Post a Comment