SEPERTI dijangkakan, Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berhadapan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah, dan PKR diwakili peguam terkenal Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.
Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 November itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.
Mohamad Hamsan menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon selepas tiada isu dibangkitkan semasa tempoh bantahan selama sejam.
Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Tsen pada pukul 9.06 pagi.
Ribuan penyokong hadir berkumpul seawal pukul 5.45 pagi untuk mengiringi calon masing-masing.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong BN bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan para penyokong mengiringi calon parti itu, Linda di pusat penamaan calon.
Antara pemimpin parti komponen BN adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil wakil parti komponen. – Bernama
No comments:
Post a Comment