Oleh: GONOD SUNDA
ISU perdebatan secara terbuka, antara calon SAPP Datuk Yong Teck Lee dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang dijadualkan pada Ahad antara jam 12 tengah hari atau jam 2 petang kini dicelah calon Parti Keadilan Rakyat, Haji Ansari Abdullah sekalipun Yong mengatakan beliau tidak mempunyai locus-standi; dalam masa yang sama Musa menolaknya secara mentah-mentah dengan alasan isu yang dibangkit sudah lapuk dan basi.
Menurut Yong, Musa tidak boleh menganggap isu itu sudah lapuk atau basi tetapi beliau seharusnya menyahut cabaran berdebat itu untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan Yong seperti isu kuasa autonomi Sabah mahupun slogan ‘Sabah for Sabahan’ dengan penuh keyakinan.
Bagi Yong, kuasa autonomi Sabah atau slogan ‘Sabah for Sabahan’ masih segar dalam ingatan seluruh lapisan rakyat Sabah kerana sehingga kini ia masih tertunggak dan tergantung begitu sahaja.
Bagaimana isu itu boleh tergantung sedemikian? Mungkinkah kerana para pemimpin BN dan Kuala Lumpur tidak berminat langsung untuk menyelesaikan isu tersebut sejak dari peringkat awal lagi; meskipun masalah itu sering dibangkitkan oleh pemimpin Sabah terdahulu terutamanya Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan yang membangkitkan, 20 Perkara kononnya telah dinodai oleh Kerajaan Persekutuan.
Dalam kerancakan berkempen bagi PRK Batu Sapi, sudah tentu isu 20 Perkara, isu kuasa autonomi Sabah dan slogan ‘Sabah for Sabahan’ kembali bergema bagaikan kemestian asap kemenyan dalam kenduri kendara orang Melayu.
Tegas Yong, kepimpinan BN hari ini tidak boleh secara leka mahupun tidak serius menunaikan tanggung jawab mereka untuk menjelaskan sebarang isu yang menjadi kekalutan rakyat; apatah lagi isu yang dibangkit ini adalah untuk kepentingan rakyat Sabah. Lebih tepat sebagai landasan menuntut hak asasi dan kesaksamaan agehan kekayaan harta yang menjamin masa depan generasi muda yang bakal mewarisi Sabah.
Intipati inilah sebenarnya yang ingin dirungkai dan didebatkan oleh Yong bersama Musa agar isu kuasa autonomi dan hak-hak Sabah dalam 20 Perkara tidak diketepikan begitu sahaja, apalagi jika kenyataan Musa melabelkan isu itu sebagai lapuk dan basi agak keterlaluan dan sesuatu yang menghampakan harapan rakyat Sabah terhadap helah Musa.
Pada Yong, jika Musa menolak cabarannya, bererti Musa sudah mengabaikan tanggung jawabnya selaku pemimpin Eksekutif BN Sabah dan jangan lagi mengalihkan tuduhan yang lain yang sengaja diputar belitkan Musa kerana intipati perdebatan lebih merujuk kepada pengabaian isu berkenaan selama 47 tahun lalu.
Gendang dan kulintangan sudah dipalu, namun mampukah Musa mengubah rentak tarian Sumazau dan Daling-Daling rakyat Sabah khususnya pengundi Parlimen Batu Sapi?
Musa turut menyerang reputasi Yong serta mengkritik dengan keras pencapaian kepimpinan Yong selaku Presiden SAPP termasuk ketika Yong menjawat Ketua Menteri Sabah selama dua tahun di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri ilham mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.
Namun bagi Yong, kritikan Musa itu dikira kurang menentu arah kiblatnya dan disifatkan banyak pihak sebagai alasan berputar-putar yang mengelirukan semata-mata untuk mengelak bersemuka dengan Yong dalam perdebatan itu.
Sayugianya kata Yong, prestasi kepimpinan seseorang Ketua Menteri dalam talian hayat ‘dua tahun’ ketika menjawat jawatan itu sukar untuk diramal keberkesanan pencapaian kecemerlangannya.
No comments:
Post a Comment