Friday 29 October 2010

YONG KEHABISAN MODAL ANJUR DEBAT?



Oleh: QING LING GAO

MUNGKIN kerana tertekan atau kehabisan modal kempen, Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengajak Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman untuk berdebat berhubung isu ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan ‘Autonomi’ yang diperjuangkan semasa kempen pilihanraya kecil ini untuk memancing simpati pengundi di saat akhir.

Persoalannya, Musa tidak bertanding pada pilihanraya kecil tersebut, sebaliknya Yong berhadapan dengan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin dan rakyat Batu Sapi yang dianak tirikan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah, ibarat cuba menarik unta memasuki lubang jarum denga mengajak Musa berdebat.

“Apa kena mengena Datuk Seri Musa dalam hal yang ingin diperjuangkan Yong dan SAPP? Apa isu yang dia mau bawa dan ketengahkan? Jika dia juara, bertanding sebagai Adun pada pilihanraya umum akan datang dan berdebat di Dewan Undangan Negeri, bukannya di dalam Dewan Hakka. Kalau mahu tunjuk jaguh, kena ada gelanggang,” kata seorang ketua cawangan UMNO, Dandan A.M, yang turut menyifatkan Yong sebagai ‘Panglima Hilang Gelanggang’.

Dalam keadaan BN telah merubah wajah Sabah, pembangkang dan parti ‘atas pagar’ (Bebas) seperti SAPP masih ‘bersajak’ tentang kisah silam yang langsung tidak memberi manfaat, apatah lagi PRK bukanlah forum yang sesuai untuk berdebat soal dasar dan autonomi.

“Saya harap Yong tidak menjadi burung kakak tua atau orang Cina gelar beliau sebagai ‘Kucing Buta’ yang tidak dapat menangkap ‘Tikus’ sehingga mengingau-ngiau sepanjang malam kerana kelaparan,” tegas Dandan yang mendesak Yong agar berkempen secara berhemat dan tidak cuba menyembunyikan kesilapan yang beliau lakukan semasa menjadi Ketua Menteri Sabah dulu.

Ketika Yong menjadi Ketua Menteri Sabah, kata Dandan, tidak ada yang boleh dibanggakan sangat dan kini ketika berada di luar Kerajaan, Yong mula mengalami sindrom ‘Kucing Buta’ kerana mula ditolak oleh masyrakat Cina yang mahukan seseorang yang berwibawa seperti Datin Linda untuk menyuarakan masalah rakyat di Parlimen.

“Kalau dia ingin berjuang tentang Sabah Untuk Sabahan atau Autonomi atau apa juga isu yang menyentuh dasar, carilah medan yang sesuai. Apa gunanya menangkap ikan di padang pasir atau apa gunanya menggali perigi di sungai yang dalam?,” ujar Dandan yang melontarkan pertanyaan demikian agar Yong kembali kepada ‘jati diri’ sebenar rakyat Sabah yang memperjuangkan nama baik Malaysia di mana jua berada.

Menurut Dandan lagi, Peristiwa Debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek di Dewan Bahasa dan Pustaka yang disiarkan secara langsung selama sejam melalu Global Media Channel, BernamaTV, TV9 dan Astro Awani pada 15 Julai 2008, sepatutnya mengajar Yong betapa sia-sianya kerja menangkap angin.

No comments:

Post a Comment