Oleh: JACOB CHRISTOPHER
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) disarankan agar memberikan penjelasan sama ada mereka mengamalkan konsep pilihkasih atau mengamalkan budaya rasuah kerana masih membenarkan penyewa empat lot kedai milik MARA di Wisma Merdeka beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu dengan kadar sewa yang terlalu rendah.
Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi mendedahkan bahawa empat premis ruang niaga di Fasa 2, Tingkat 2, Wisma Merdeka, Kota Kinabalu seolah-olah telah dimonopoli (dua lot setiap restoran) oleh dua buah restoran iaitu Restoran Mekar dan Restoran Sri Malindo sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kenapa tidak beri peluang kepada peniaga lain untuk berniaga kerana premis berkenaan terlalu luas untuk digunakan sebagai restoran, malah boleh dipecahkecilkan kepada enam lot jika MARA ingin memberi peluang kepada para peniaga bumiputera lain yang menghadapi kesukaran mendapatkan ruang niaga yang selesa,”
Tegas Zainuddin, menurut maklumat dalaman yang diterima, empat lot niaga milik MARA terletak di Lot 237, 238, 239 dan 240 telah diberi notis untuk dikosongkan setelah tamat tempoh penyewaan, namun pemilik dua restoran berkenaan masih meneruskan perniagaan restoran mereka.
“Kita difahamkan mereka hanya membayar RM2,300 bagi setiap lot sedangkan dengan keluasan yang sama di tingkat 2 para peniaga lain membayar antara RM4,500 hingga RM5,000 bagi setiap lot,” ujar Zainuddin yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi bagi mencegah penyalahgunaan kuasa dan menyekat amalan rasuah yang mula membudaya di kalangan peniaga dan badan berkanun kerajaan.
No comments:
Post a Comment