Monday, 25 October 2010

SALLEH MERINTIS KEMENANGAN BATU SAPI



Oleh: HALIM HAKIMI

KELANTANGAN Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said membidas para pemimpin UMNO yang mengutamakan kepentingan diri ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini disifatkan telah merintis kemenangan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Ramai pemerhati politik menyifatkan teguran Salleh akan membentuk gelombang baru di pilihanraya kecil Batu Sapi melalui konsep ‘Blue Ocean Strategy’ yang akan menyaksikan seluruh pemimpin UMNO akan berkampung di Batu Sapi bagi memastikan calon BN (PBS), Datin Linda Tsen Thau Lin mengulangi kejayaan mendiang suaminya dengan majoriti yang lebih besar.

Salah seorang pemerhati politik daripada UMNO, Pak Ahmad yang telah menjalankan pemantauan di Sandakan sejak kelmarin mendapati ramai rakyat Sandakan memuji keberanian Salleh menyongsang arus menegur pemimpin UMNO yang leka memperjuangkan nasib rakyat sehingga UMNO dan BN gagal memastikan kemenangan melebihi dua pertiga kerusi Dewan Rakyat pada PRU 2008.

“Walaupun teguran dan sindiran tajam itu agak berat untuk diterima oleh mereka yang makan cili sehingga terasa pedas, tetapi bagi saya teguran tersebut ikhlas dan bakal memberi kekuatan kepada BN untuk menentang calon pembangkang yang cuba merampas Kerusi Batu Sapi,” ujar Pak Ahmad yang telah bersiap sedia membantu BN berkempen di Batu Sapi mulai esok.

Sebelum ini kata Pak Ahmad, di mana-mana pilihanraya kecil ramai pemimpin UMNO hanya menunjuk muka untuk mencari publisiti murah, namun pada kali ini senarionya agak berubah dan berharap agar mampu bertahan sehingga 4 November 2010 supaya rakyat tidak dihijab dengan propaganda pembangkang yang sentiasa menyambar peluang untuk menafikan kemenangan BN dalam setiap pilihanraya kecil.

“Daripada semangat akar umbi yang ditunjukkan, kita lihat sokongan terhadap UMNO/BN semakin bertambah baik menjelas saat penamaan calon dan kita harap akan memuncak pada hari pengundian,” ujar Pak Ahmad yang melihat perpaduan BN di Batu Sapi agak kental berbanding pada pilihanraya umum 2008 yang dikotori dengan pelbagai teori konspirasi.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Sabah, dalam ucapannya di PWTC baru-baru ini membidas tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti dan rakyat kerana ada di antara mereka yang sengaja memilih ‘padang’ selesa dalam program turun padang hanya semata-mata memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Pemimpin UMNO kadang-kalanya jika memerlukan undi kita, rajin sangat turun padang. Kalau tidak perlukan kita macam sudah terlupa kita. Mereka turun padang tetapi, padang golf atau padang hotel besar. Itu tiada masalah tetapi bagaimana pula dengan padang yang banyak lalang, padang yang teruk dan perlu dibaiki yang kita kena jenguk sendiri sekali-sekala,” katanya lagi.

Justeru, katanya, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mencari jalan terbaik bagi menarik kembali sokongan orang Melayu, sekali gus meyakinkan mereka UMNO adalah parti yang berada pada landasan betul dalam memperjuangkan golongan itu.

“Tsunami politik 2008 bukan kerana rakyat marah kepada UMNO, sebaliknya kerana mahu ‘mengajar' dan menyedarkan kita yang menyimpang daripada prinsip perjuangan sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

Kata Salleh, ada pihak yang mengatakan pemimpin UMNO ‘act' (berlagak) dalam program kecil tetapi publisiti lebih banyak. Setakat gotong-royong satu dua rumah pun mahu masuk akhbar dan televisyen. Terlalu banyak lakonan dan lakonan itu tidak laku di kalangan masyarakat Melayu.

“Kata mereka, kita perlu ajar sedikit pemimpin ini, ajar punya ajar dah terlebih ajar hinggakan banyak kerusi jatuh. Oleh itu kita kena berubah. Persepsi rakyat terhadap UMNO adalah kesilapan kita kerana tidak semua rakyat dapat mendekati pemimpin kerana mereka hanya melihat pemimpin di kaca televisyen, baca surat khabar dan ada kalanya mereka melihat pemimpin UMNO ini kerjanya hanya publisiti saja dan serah enjin sangkut pun nak masuk surat khabar. Mereka tidak bincang perkara pokok," katanya.

Kata Salleh lagi, pemimpin UMNO juga cepat berubah sehinggakan pembangkang berjaya memanipulasi persepsi rakyat terhadap parti itu, namun katanya ia mula disedari sejak akhir-akhir ini dan tidak begitu serius di Sabah.

No comments:

Post a Comment