Thursday, 28 October 2010

HARGA BARANG DI BATU SAPI DISERAGAMKAN



HARGA barang keperluan, gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel yang dijual di pulau-pulau sekitar Batu Sapi diseragamkan bermula hari ini.

Langkah itu untuk membolehkan pengguna membeli barangan berkenaan dengan harga yang sama seperti di bandar berbanding sebelum ini apabila terdapat perbezaan harga antara RM1 dan RM8.

Program penyeragaman harga itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Segaliud kira-kira 70 kilometer dari sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata, program itu membolehkan penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Batu Sapi khususnya di Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong menikmati penjimatan dalam perbelanjaan harian.

Katanya, barangan yang terbabit adalah minyak petrol, diesel, LPG, barang subsidi seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan beras ST 15 peratus.

Beliau berkata, sebagai contoh, sebelum ini penduduk di pulau membeli petrol dengan harga RM2.60 hingga RM4 berbanding harga subsidi RM1.85 seliter dan LPG setong RM30 hingga RM38 seberat 14kg berbanding harga RM25.90 di kawasan Bandar Sandakan.

Katanya, program penyeragaman harga itu sudah pun dilaksanakan di 135 kawasan di Sabah yang membabitkan peruntukan sebanyak RM29 juta pada tahun ini.

Katanya, dalam Bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk program penyeragaman harga dengan RM80 juta diperuntukkan kepada Sabah.

"Ini adalah bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak pernah lupa untuk membantu penduduk di luar bandar," kata Ismail Sabri. (Bernama)

2 comments:

  1. bila ada election baru cakap diseragamkan? adakan ini patut...jadi selama ni...musa aman dan pbs,peter pang,raymond tan buta?ada sibuk mengelapkan duit rakyat.benci betul orang bn.baik pergi mati saja.

    ReplyDelete
  2. Ini jerat dan pancing undi, lepas pilihanraya tatap naik punya balik lihat lah !
    Tipu ka atau menipu atau tititipah.. tertiiipu lagi...?

    ReplyDelete