Sunday 31 October 2010

DEBAT HANYA SANDIWARA POLITIK?



DI atas kertas, sekurang- kurangnya dua perdebatan dijadual diadakan pada Ahad; pertama antara Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan satu lagi antara tiga calon yang bertanding anjuran calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi 4 November ini, calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin menghadapi pertandingan tiga penjuru berdepan dengan Yong dan Ansari.

Bagaimanapun, tiada satu pun yang diadakan apabila pendebat yang dicadangkan tidak turun padang.

Yong dan Ansari cuba untuk meraih sokongan dengan meminta debat diadakan, walaupun telah dimaklumkan lebih awal bahawa pendebat yang dicadangkan tidak akan menyertainya.

Yong, malah telah menerbitkan satu iklan satu muka dalam akhbar harian tempatan untuk memaklumkan orang ramai bahawa debat itu akan diadakan pukul 1 tengah hari di Dewan Hakka di sini.

Musa sudah menyatakan bahawa tidak guna untuk berdebat dengan Yong manakala Yong yang juga Bekas Ketua Menteri Sabah telah menolak pelawaan Ansari untuk berdebat di Hotel Sanbay pada pukul 2 petang tadi. Yong telah menyatakan bahawa beliau lebih suka berdebat dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Ansari.

Sebelum itu, Tsen lebih awal menolak pelawaan Ansari untuk berdebat.

Oleh itu, persoalannya ialah, kenapa mahu menganjurkan debat apabila orang yang dijemput itu telah menyatakan bahawa mereka tidak berminat?

Penganalisis politik berkata, strategi sedemikian adalah biasa bagi mendapatkan lebih banyak sokongan kerana mereka dapat menggambarkan bahawa saingan mereka takut dan tidak berani untuk menjawab permasalahan yang dibangkitkan saingan masing-masing.

Keadaan itu menjelaskan kenapa Yong segera menukar debat sebelah pihak itu kepada satu ceramah politik di Dewan Hakka di sini selepas tempoh debat selama sejam itu berakhir bagi menyebarkan mesejnya kepada yang hadir untuk menyaksikan ‘perdebatan’ itu.

Ansari tanpa dijangka menghadirkan diri pada Majlis ‘debat’ Yong di Dewan Hakka walaupun tidak dijemput tetapi meninggalkan dewan itu selepas dimaklumkan bahawa debat itu dibatalkan pada 1 tengah hari selepas Musa tidak hadir.

Ansari kembali semula ke Hotel Sunbay dan beliau mengadakan ‘debat’ berasingan dengan Yong dan Tsen yang bertukar menjadi ceramah politik oleh Anwar.

Yong kemudiannya menghantar SMS kepada media menyatakan: “Ha ha ha! Ansari lupa. Tempahan PKR di dewan yang sama ialah 7 malam, bukan 1 tengah hari." (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment