Wednesday 13 October 2010

KAMPUNG TIADA, TETAPI KETUA KAMPUNG ADA?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman diminta agar campur tangan dan memberikan penjelasan kenapakah terdapatnya perlantikan Ketua Kampung (KK) di beberapa kampung tidak wujud di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman?

Selain itu terdapat juga perlantikan Ketua Kampung berlebihan di Sulaman yang dibuat atas dasar campur tangan politik pemimpin tertentu yang telah menyalah gunakan kuasanya kerana perlantikan itu didapati tidak mencerminkan kehendak rakyat melalui sistem pemilihan secara demokrasi yang berteraskan keadilan sejagat.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Marsah Muyong membangkitkan perlantikan kurang wajar ini ini berdasarkan kepada komitmen Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menyertai usaha mempertingkatkan status Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan timbangtara (arbitration) oleh Ketua Kampung di peringkat kampung sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan dan melindungi hak-hak orang asal di sesebuah kampung berkenaan.

Marsah menyatakan sokongan penuhnya terhadap cadangan untuk mengujudkan satu set kriteria dan proses pemilihan bagi jawatan Ketua Kampung, Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri oleh Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam bagi memastikan perlantikan ke jawatan-jawatan berkenaan bebas dari campurtangan politik.

Semasa berucap merasmikan ‘Forum Sistem Perundangan Adat’ anjuran Suruhanjaya itu di Kota Kinabalu baru-baru ini, Hasmy berkata, isu pemilihan Ketua Kampung, Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri telah menjadi subjek yang menimbulkan kebimbangan serius di kalangan ramai orang terutama penduduk tempatan yang mahukan keadilan.

Marsah yang juga mantan Wakil Ketua Anak Negeri Tuaran, mempersetujui cadangan SUHAKAM itu kerana amalan melantik penjawat jawatan itu di negeri ini dilakukan oleh pemimpin politik di setiap kawasan dan daerah bukan berdasarkan kepada sokongan majoriti penduduk setempat.

Beliau mengambil contoh beberapa buah kampung di Kawasan Sulaman di Tuaran didapati mempunyai ketua kampung berlebihan meskipun tidak mempunyai bilangan penduduk yang ramai.

Berhubung dengan perlantikan itu, Marsah mahu kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat apakah garis panduan sebenar terhadap perlantikan ketua kampung, termasuklah bilangan penduduk yang berada di dalam pengawasan seseorang ketua kampung?

"Di Kawasan Sulaman Tuaran Kampung-kampung yang didapati mempunyai ketua kampung yang berlebihan adalah seperti Bolong Baru, Tambalang, Bolong, Sabandar, Lok Batik, Simpangan, Tajau, Kota dan Serusup yang kelihatan perlantikannya adalah berbaur politik meskipun terdapat beberapa buah kampung tidak mempunyai penduduk yang mencukupi untuk mempunyai 2 atau lebih ketua kampung.

"Sehubungan dengan cadangan SUHAKAM itu saya meminta Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MAHEINS) di bawah tanggungjawab Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor mengkaji semula perlantikan berlebihan beberapa Ketua Kampung yang didakwa telah menjawatnya hanya untuk mendapatkan elaun bulanan yang juga dilihat boleh menjejaskan kewangan kerajaan negeri.

"Yang malangnya terdapat perkampungan yang tidak wujud dan termasuk dalam kampung sedia ada seperti Lok Rantis (Perumahan Laya-laya), Bembangan (Kampung Bolong Baru), Suang Murut dan Pulau Bolong (Kampung Bolong), Seri Bayu dan Mentulid (Kampung Kota), Paka (Kampung Shabandar) dan ada lagi perlantikan lain yang tidak dapat disebutkan tetapi mempunyai ketua kampung," soal Marsah.

"Saya menyokong pendapat Hasmy, sekiranya perlantikan seseorang itu dikaitkan dengan tujuan politik maka adalah sukar baginya untuk mendapat sokongan mojoriti dalam setiap tindakan yang dirancang dan dengan akibat itu peranan yang pertanggungjawabkan kepadanya tidak mungkin akan berpaksikan kepada keadilan," kata Marsah yang pernah menjadi Wakil Ketua Anak Negeri Tuaran selama satu penggal.

Walau bagaimanapun selaku seorang penyokong Kerajaan di Tuaran, Marsah menyatakan kegembiraannya kerana dengan adanya perlantikan itu maka lebih ramai bilangan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang berpeluang dilantik sebagai Ketua Kampung.

No comments:

Post a Comment