Monday 11 October 2010

KERANA 'SUSU 1MALAYSIA', ROSAK SATU NEGARA?




Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

BETAPA malangnya Pengarah Urusan First Dairy Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Muhammad Alwi Abdullah tidak terdaya membendung air matanya selepas melihat 91,500 liter produk susu keluaran kilangnya di Muazamshah, Pahang terpaksa dibuang ke parit selepas susu segar keluaran 380 ekor lembu di ladangnya tidak diterima oleh dua syarikat pengeluar produk tenusu terkenal di negara ini atas alasan rosak dan dicemari bakteria.

Muhammad Alwi memohon supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggubal dasar menghadkan import produk tenusu luar negara bagi membantu industri tenusu tempatan kerana syarikat pengeluar di Negara ini lebih berminat untuk mengambil produk susu dari luar negara terutama Australia dan New Zealand.

Namun betapa tersengihnya Datuk Nasir Yeo Guan Hock apabila berjaya memperdaya Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk melancarkan produk susu ‘kilangnya’ dengan momokan nama ‘Susu 1Malaysia’ pada 16 September 2010, sempena ‘Perayaan Hari Malaysia’.

Walaupun Kerajaan Negeri Sabah mempunyai kepentingan di dalam pembekal ‘Susu 1Malaysia’ iaitu Sabah International Dairy (SID), namun pemilik sebenarnya ialah Nasir Yeo, ‘Jutawan Bankrap’ (belum dilepaskan) yang dilantik sebagai Pengarah SID bersama anaknya, Azlan Yeo dan beberapa pegawai kanan kerajaan lain.


Sabah International Dairies Sdn.Bhd yang sebelum ini dikenali dengan nama Sama Industrial Product Sdn.Bhd yang ditubuhkan di era Kerajaan Berjaya pada 05 Julai 1983 beralamat di Lot 50 dan 51, Jalan Kilang, Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu Sabah yang menjalankan urusniaga pengilangan, pembungkusan dan pemasaran susu, jus buah-buahan dan minuman lain.

Nasir Yeo mengambil alih bangkai kilang SID daripada James Kuek yang menanggung hutang RM35 juta namun diserap melalui kenaikan harga pengangkutan 70 sen bagi setiap kotak susu kerana mendapat kontrak jangka panjang dengan Kerajaan Negeri Sabah.

Mengikut siasatan Sabahkini.net dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SID mempunyai modal berbayar RM11.78 juta daripada RM 50 Juta modal yang dibenarkan

Pengarah SID terdiri daripada;

1.Nasir Yeo Guan Hock (380102075191) sejak 1 Julai 2008)

2.Jap Omar (550106125415) sejak 06 Februari 2001

3.Datuk Asnimar Hj Sukardi (560201035628) sejak 1 Julai 2008

4.Justin Guka (561014125067) Sejak 1 JUlai 2008

5.Lim Nyuk Foh (640430125379) sejak 15 April 2003

6.Rahmah Jan Sulaiman Khan (680317125226) Sejak 1 September 2008

7.Azlan Bin Nasir @ Yeo Guan Hock (800214125171) Sejak 14 Mac 2006

Memang agak mengejutkan kerana Azlan Yeo masih menggunakan Kediaman Rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Libaran, Kampung Sungai Kayu, Batu 7, Jalan Airport, 90000 Sandakan, Sabah sebagai alamat peribadinya di SSM.


Manakala Pemegang Saham SID terdiri daripada;

Freddy Lim Nyuk Foh : 4,275,833 saham

Hamidah Mohamad Kamdi : 6,999,998 saham

Azlan Bin Nasir @ Yeo Guan Hock: 303,676 saham

Kerajaan Negeri Sabah : 20,000,000 saham

Mengikut Penyata Akaun yang telah diaudit bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2008, SID memperoleh hasil RM20.143 juta namun mencatat kerugian selepas cukai. Sebanyak RM864,454.

Siasatan Sabahkini.net mendapati, SID memperoleh kuota membekal susu sebanyak 9 juta gelen untuk tahun ini dan 13 juta gelen untuk tahun hadapan untuk diedar ke seluruh Malaysia bermula Oktober 2010.

Ini bermakna SID memperoleh kontrak masa hadapan bernilai RM375 juta untuk membekal susu 1Malaysia kepada 3.1 juta orang kanak-kanak sekolah atau 270 juta kotak setahun di .

SID kini dalam perancangan untuk mengimport lebih 1,000 ekor lembu tenusu dari New Zealand dengan menggunapakai nama 127 penternak lembu dalam pakej usahasama yang lebih memihak kepada Nasir Yeo menggunakan kuasa Kerajaan Negeri Sabah.

Projek Mega ‘Susu 1Malaysia’ lebih dilihat sebagai Projek Membazir dan kegagalan Kerajaan Persekutuan memahami kehendak rakyat Sabah terutama penindasan yang berlaku dalam agehan kontrak pengangkutan, masalah stor penyimpanan, masalah susu basi dan tercemar serta menyalahgunakan wang rakyat untup projek yang langsung tidak memberikan faedah secara mutlak.

Perlantikan SID yang diberitaraf GLC oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai syarikat monopoli pembekal susu tidak mengatasi masalah harga susu yang tidak stabil di pasaran tempatan, apatah lagi kontrak RM375 juta setahun tidak melalui tender kerana dilaksanakan di bawah Projek Koridor Sabah.

Betapa sayangnya RM375 juta setahun mengalir masuk ke poket Nasir Yeo dan hanya sejumlah kecil sahaja yang akan disalurkan ke akaun Kerajaan Negeri; sedangkan rakyat di luar bandar merintih hiba ketiadaan bekalan air, jalan raya, menganggur kerana Kerajaan Negeri Sabah seolah-olah memadam data dan nama mereka daripada rekod kemiskinan tegar.

Apatah lagi Malaysia hanya mampu memenuhi empat peratus keperluan susu tempatan manakala 96 peratus lagi terpaksa diimport daripada New Zealand dan Australia.

“Seperti diarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita mahu menyegerakan projek ini. Kita ada peruntukan RM60 juta yang mesti diselesaikan hujung tahun ini, manakala untuk tahun depan kita akan membuat permohonan lain,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil meremang bulu tengkuk para pembekal susu yang selama ini merintih kerana susu mereka dibeli dengan harga yang murah.

Semoga Najib sedar dengan tipu helah ini sebagaimana sedarnya beliau bahawa tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjalankan hampir semua projek KKLW di bawah Projek Keberhasilan Utama (NKRA) melalui tender terhad yang dikenduri oleh semua kroni dan proksi beliau.

Hanya Najib yang dapat menghentikan kezaliman ini dan menyalurkan sejumlah besar peruntukan untuk melengkapkan prasarana kepada penduduk luar bandar atau memilih untuk kehilangan 25 kerusi parlimen di Sabah pada pilihanraya umum akan datang; sebagaimana cuainya Pak Lah pada pilihanraya umum ke 12.

Semoga ia tidak menjadi mimpi ngeri Najib yang mula diterima rakyat Malaysia melalui beberapa dasar terbukanya, namun telah dikhianati oleh pemimpin BN dan kroni yang mempunyai agenda tersendiri untuk membolot kekayaan negeri sehingga negeri Sabah terus kekal miskin ketika pemimpin kaya raya!

No comments:

Post a Comment