Monday 11 October 2010

KORUPSI PENANDA ARAS MERITOKRASI?



Oleh: MAHALI MUNTOK

KORUPSI seringkali menjadi penanda aras ‘integriti’, namun di Labuan, Korupsi telah diterima sebagai satu komponen ‘Meritokrasi’ untuk mengukur kredibiliti seseorang sebelum dilantik memegang jawatan tertinggi di Perbadanan Labuan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Zainuddin Hassan menyatakan bahawa sebelum ini beliau telah mededahkan ‘open secret’ bahawa Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Jusoh Salleh dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Yusof Mahal telah melakukan pecah amanah dan amalan rasuah.

“Mungkin Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan takut untuk mengambil tindakan atau Ketua Pesuruhjaya SPRM ada kepentingan sehingga dua ‘penjenayah kolar putih’ lepas bebas daripada sebarang tindakan undang-undang, malah turut berpeluang mendapat semua kemudahan, termasuk kenaikan pangkat atau emolumen,” ujar Zainuddin yang mencadangkan agar SPRM menutup pejabatnya di Labuan.

Kata Zainuddin, pihaknya telah melaporkan banyak kes rasuah di Labuan kepada SPRM sejak 2008, namun tidak satupun disiasat atau diambil tindakan menurut undang-undang, terutama setelah Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah Latifah Md Yatim (Datuk) ditukar ke Pulau Pinang.

“Kita kesal kenapa Yusof Mahal yang mempunyai kes dengan SPRM dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan sejak 10 Oktober 2007 sehingga 9 Oktober 2010 (mungkin disambung lagi),” kata Zainuddin yang menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Abu Kassim Mohammad dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail membuka semula kes rasuah Yusof Mahal yang khabarnya di ‘KIV’ setahun lalu.

SPRM, kata Zainuddin, sewajarnya menyiasat kenapa Jusoh Salleh membiarkan Jaminan Bank RM4 juta bagi projek bernilai RM24 juta tidak diperbaharui sehinggalah kontrak tersebut ditamatkan,” ujar Zainuddin yang mendakwa Jusoh bersubahat dengan Yusof Mahal; sedangkan dalam masa yang sama Perbadanan Labuan kerugian RM4 juta kerana gagal menuntut Jaminan Bank yang tidak diperbaharui setelah Labindo Engineering Sdn.Bhd (syarikat milik Yusof) gagal menyiapkan Projek Pasar Baru Labuan.

Sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Pembangunan), Jusoh telah gagal secata total apabila kesemua empat projek Perbadanan Labuan iaitu Pasar Baru Labuan, Quarters Kerajaan, Parking Teksi dan Tapak Perniagaan Bumiputera; telah tidak dapat disiapkan oleh kontraktor yang dilantik dan terpaksa ditender semula.

“Jika KSN atau Menteri Wilayah Persekutuan berfikir tidak ada lagi pegawai yang layak menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan selain Yusof, sewajar KSN dan menteri berkenaan yang patut meletakkan jawatan,” cabar Zainuddin yang menggesa Perdana Menteri campurtangan sebelum rakyat Labuan dan Sabah marah kepada Kerajaan Persekutuan yang menganak tirikan penduduk Labuan dalam segala hal, termasuk jawatan penting dan peluang kenaikan pangkat.

Zainuddin menarik perhatian, jika ‘Jusoh Handphone’ dilantik sebagai Ketua pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dan jika perlantikan Yusof Mahal sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan disambung satu penggal lagi, maka moto kerajaan 1Malaysia, ‘Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’ hanya menjadi mimpi Najib di siang bolong.

No comments:

Post a Comment