Saturday 23 October 2010

MISI BESAR ‘PANGLIMA YONG’ DI BATU SAPI



Oleh: PAK MAIL

TEKA TEKI siapa bakal calon yang ditonjolkan SAPP untuk PRK Parlimen Batu Sapi kini sudah terjawab kerana gerak debaran penyokong setianya sebelum ini pun lebih terarah kepada Presidennya, Datuk Seri ‘Panglima’ Yong Teck Lee yang bakal menggalas tugas prima untuk memenangi PRK Parlimen Batu Sapi pada pengundian 4 November 2010.

Segenap lapisan masyarakat di Sabah terutamanya kawasan Parlimen Batu Sapi masing-masing melebarkan senyum tanda setuju kehadiran pemimpin yang bergelar ‘kuat bercakap, lantang dan berani’ tidak lain dan tidak bukan mantan Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee yang baru berusia 52 tahun.

Seluruh rakyat dipelusuk negara akan tertumpu perhatian mereka di PRK Parlimen Batu Sapi untuk mengetahui secara jelas sentimen pengundi Batu Sapi sama ada mereka masih memenangkan calon BN-PBS atau menidakkan BN dan sebaliknya mengundi pembangkang calon SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Kawasan Parlimen Batu Sapi yang berkeluasan 1,318 km persegi iaitu kira-kira empat kali setengah keluasan Pulau Pinang meliputi dua kawasan DUN iaitu DUN Sekong dan Karamunting dengan pengundi seramai 25,582 orang, masing-masing 24,047 adalah pengundi biasa, manakala seramai 1,535 orang pengundi pos. Pengundi Melayu seramai 15,099 (59.02%) 689 (2.7%) pengundi bukan Islam, 9,737 (39%) pengundi Cina dan 57 (0.22%) pengundi lain.

PRK Batu Sapi merupakan kali pertama dalam musim ini bagi Datuk Yong selepas tahun 2001 apabila kemenangannya dibatalkan berikutan keputusan Mahkamah apabila suatu petisyen kesalahan pilihanraya yang dikemukakan terhadapnya mengakibatkan kerusi ADUN yang beliau menangi telah terlucut.

Bagaimanapun tahun 2006 Yong dibenarkan bertanding semula untuk Parlimen Kota Kinabalu atas tiket BN (ketika itu SAPP masih berada dalam BN) tetapi kepimpinan BN negeri enggan membenarkannya bertanding di situ sebaliknya memberi laluan kepada PBS, tetapi akhirnya calon PBS Datuk Yee Moh Chai, kalah kepada DAP.

Prestasi BN selepas PRU 12 pada tahun 2008 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan titik hitam sejarah politik tanah air sejak Merdeka apabila BN tidak mencapai 2/3 suara majoriti di Dewan Rakyat yang memaksa BN mengharungi situasi kelamkabut dan tidak menentu kerana terdesak dengan asakan- asakan pembangkang yang terlalu kuat pada ketika itu.

Melihat kecalaruan dalam pimpinan BN, Yong yang berkali-kali meminta pihak Kuala Lumpur untuk segera membetulkan keadaan termasuklah mengkaji semula kuasa- kuasa autonomi Sabah tidak dipedulikan, penambahan peruntukan dan kuasa melantik Ketua Menteri Sabah dikembalikan ke bidang kuasa TYT, berdasarkan keputusan pilihanraya umum juga dipandang sepi; memaksa SAPP bertindak keluar daripada Gagasan BN pada 17 September 2008.

Selepas sahaja beberapa hari melangkah keluar daripada Gagasan BN, Yong telah menerima pelbagai dugaan yang dilemparkan BN terhadapnya antara lain konon beliau ketika menjadi Ketua Menteri Sabah dituduh mendapat ganjaran RM5 juta daripada sebuah syarikat perjudian; yang sememang pun perjudian menjadi ‘HARAM’ sekali bagi Yong.

“Jangankan menerima imbuhan keuntungan kegiatan judi oleh sesebuah syarikat, malah saya bertungkus lumus mengurangkan jadual cabutan judi 4D di Sabah kerana memaksa rakyat terus berjudi setiap minggu. Itu bukan pelaburan tetapi judi yang bakal menyeksa rakyat berpendapatan rendah,” Yong dipetik berkata suatu ketika dulu.

Datuk Yong Teck Lee yang berperawakan sederhana mudah bergaul dan cepat mesra dengan gaya penyampaian fasih dalam bahasa Malaysia, boleh berpantun dan faham dengan kiasan-kiasan Nusantara rumpun Melayu, memang sesuai untuk meletakkan diri beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat majmuk (multiracial) seperti yang berlaku di Parlimen Batu Sapi.

Pendeknya, kemunculan Yong di PRK Parlimen Batu Sapi sebagai calon SAPP dari pembangkang perlu disokong dan diangkat untuk duduk sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat mewakili rakyat berbilang bangsa, agama dan kepercayaan di Parlimen Batu Sapi jika rakyat Sabah mahukan mesej penting mereka membantah ketidak telusan dan ketidak-adilan hak rakyat Sabah terhadap kerajaan BN terus berlegar-legar di Parlimen.

Sebaliknya jika Parlimen Batu Sapi dalam PRK ini ditakdirkan dimenangi oleh calon BN, sudah tentu impian rakyat untuk menyampaikan mesej penting rakyat di situ tidak akan kesampaian kerana umum tahu bahawa semua wakil rakyat BN disyaratkan sekadar hadir di Dewan Rakyat menyokong rakan-rakan mereka dalam Kerajaan.

No comments:

Post a Comment