Saturday 7 January 2012

GAGAL DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI TIDAK HADIR



ENAM warga Malaysia yang bekerja dan menetap di United Kingdom Jumaat gagal dalam usaha mereka untuk didaftarkan sebagai ‘Pengundi Tidak Hadir’ selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang.

Hakim Datuk Rohana Yusuf memutuskan keenam-enam mereka, yang merupakan pemohon dalam kes itu, jelas tidak termasuk dalam kategori pengundi yang boleh dianggap sebagai 'Pengundi Tidak Hadir' mengikut Peraturan 2, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Katanya di bawah peraturan itu, kategori 'Pengundi Tidak Hadir' ialah anggota angkatan tentera, penjawat awam yang berkhidmat di luar negara, pelajar universiti dan pasangan mereka.

"Adalah jelas bahawa pemohon-pemohon tidak termasuk di bawah mana-mana kategori ini. Oleh yang demikian, apabila pemohon memohon kepada SPR untuk didaftarkan sebagai ‘Pengundi Tidak Hadir’ permohonan mereka ditolak oleh SPR mengikut Peraturan 2," katanya.


Dalam penghakiman sembilan muka surat, Hakim Rohana juga memutuskan permohonan oleh kenam-enam mereka bagi semakan penghakiman untuk membatalkan keputusan SPR adalah tidak munasabah dan menjurus kepada pencabulan proses mahkamah.


"Dengan ini, saya menolak permohonan pemohon-pemohon. Saya tidak mengeluarkan perintah berkaitan dengan kos," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment