Oleh : AZMAN ARIFFIN
SEBELUM ada yang cuba menilai penulis dari tajuk yang diberikan di atas, minta diluangkan sedikit masa membaca keseluruhan artikel ini bagi mendalami maksud yang cuba disampaikan.
Penulis mendapat khabar (malah sudah heboh diperkatakan) bahawa Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 9 Januari depan untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi keputusan perbicaraan kes liwatnya.
Walaupun niat dan tujuan itu kelihatannya baik tapi penulis dan laman ini berpendapat TG Nik Aziz dan TG Hadi tidak perlu sebenarnya untuk hadir ke mahkamah pada hari tersebut demi melindungi intergriti PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.
Mungkin ada yang tertanya, apa kaitan intergriti PAS sebagai parti Islam dengan keputusan kes Anwar?
Alasan penulis, jika kita telusuri semula proses undang-undang kes ini sejak 3 tahun lepas, jelas sekali Ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh sedang mencabar kesahihan akta dimana Anwar dituduh, dengan cuba menimbulkan keraguan bahawa perlakuan homoseksual itu memang berlaku tapi atas dasar sama suka (Seksyen 377C), bukan secara paksa (Seksyen 377B) seperti dalam pertuduhan.
Kata kuncinya disitu perlakuan homoseksual memang berlaku tapi atas dasar suka sama suka.
Untuk menyokong teori suka sama suka itu, Karpal telah membangkitkan persoalan kenapa Saiful tidak lari, masih lagi boleh makan karipap bersama dengan Anwar dan pelbagai perkara lagi yang berkaitan.
Karpal dan pasukan pembelaan pimpinannya juga tidak langsung mencabar kesahihan bukti DNA yang dijumpai dalam dubor Saiful. Yang dicabar ialah proses untuk mendapatkan bahan bukti tersebut dan sama ada bukti itu telah tercemar.
Ini juga bukti bahawa Karpal benar-benar serius mahu menunjukkan kepada mahkamah bahawa perlakuan homoseksual itu berlaku tapi secara suka sama suka.
Katakanlah, jika Hakim Mohd Zabidi Md Diah menerima hujahan Karpal bahawa perlakuan homoseksual memang berlaku, tapi atas dasar suka sama suka, Anwar memang akan bebas tapi perlu membayar dengan harga yang amat mahal - masih dipalit dengan perlakuan homoseksual cuma bukan secara paksa tapi lebih teruk lagi, suka sama suka.
Justeru, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam (melalui konsep negara kebajikan), adakah pernyataan itu baik untuk perjuangan PAS? Jika ada yang terlupa, penghakiman itu akan direkodkan dalam Malaysia Law Journal (MLJ) yang jadi rujukan bakal pengamal undang-undang zaman berzaman.
Jelasnya apa pun takrifan dan kefahaman kita semua mengenai kes ini, tetap fakta yang jelas dan dijurnalkan ialah dalam kes Anwar wujud perlakuan homoseksual suka sama suka.
Seperti yang penulis pernah katakan sebelum ini, Karpal punya reputasi yang hebat dalam membela anak guamnya, hanya kerana beliau tidak peduli kesan langsung atau tidak langsung yang timbul dari pembelaan tersebut, asal saja anak guamnya terlepas dari tindakan undang-undang.
Inilah tempat dimana Nik Aziz dan Hadi Awang sebagai pemimpin Islam, perlu mengelak dari terperangkap dengan strategi pembelaan yang digunakan Karpal untuk memastikan Anwar bebas.
Walaupun sekadar hadir bagi memberi sokongan kepada Anwar, ia akan digambarkan oleh musuh-musuh Pakatan Rakyat bahawa kehadiran itu juga sebagai memberi sokongan kepada perlakuan liwat suka sama suka!!
Ini tidak langsung bermaksud penulis percaya Datuk Seri Anwar terlibat dalam perlakuan homoseksual seperti mana yang dituduh tapi skop penceritaan penulis hari ini terhad kepada strategi pembelaan yang digunakan Karpal Singh.
Penulis sendiri tidak bersetuju dengan strategi sedemikian kerana jelasnya ia boleh memerangkap Anwar untuk satu tempoh yang sangat panjang, tapi memikirkan mungkin hanya itu jalan terakhir yang boleh membebaskan Anwar, maka mahu tidak mahu, penulis perlu akur juga.
Tapi penulis hanyalah orang biasa, tidak bertanding dalam pilihanraya. Berbeza pula keadaannya dengan TG Nik Aziz dan TG Hadi Awang. Keduanya ada reputasi dan kehormatan tersendiri sebagai ulamak dan pemimpin parti Islam yang perlu dilindungi dari gambaran tidak baik seperti menyokong perlakuan homoseksual ini (dengan hadir ke mahkamah pada hari keputusan dibuat).
Maka itu penulis menyarankan agar kedua pemimpin tertinggi PAS tersebut mengelak daripada hadir di mahkamah pada 9 Januari nanti atau tajuk besar di atas itu akan menjadi hiasan muka depan akhbar-akhbar naungan UMNO seperti Utusan dan Berita Harian pada 10 atau 11 Januari.
Jangan tanya dari mana penulis mendapat maklumat ini tapi percayalah keadaan itu akan berlaku jika ilustrasi kejadian yang dipaparkan di atas, benar-benar menjadi kenyataan pada 9 Januari 2012 nanti.
No comments:
Post a Comment