Wednesday 4 January 2012

MANGSA KEBAKARAN DAPAT PEMBELAAN



SIMPATI...Azizah menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa ketika melawat ke tempat kejadian kebakaran gerai papan di Kg Rancangan Klias Beaufort, kelmarin.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

TUJUH keluarga yang menjadi mangsa kebakaran premis perniagaan di Kampung Rancangan Klias mendapat simpati dan perhatian segera Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Azizah yang bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 12.00 tengahari kelmarin menemui mangsa dan seterusnya menyampaikan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Beaufort dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias kepada mangsa terbabit berupa barangan makanan dan keperluan harian.

Azizah yang juga Adun Klias turut menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM500 bagi meringankan bebanan mangsa berikutan tragedi itu.

Dalam pada itu, Azizah turut memaklumkan bahawa pihak kementeriannya akan mengeluarkan bantuan pakaian dan peralatan persekolahan kepada tujuh murid yang turut menjadi mangsa kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.45 malam Isnin itu.

Bercakap kepada media semasa lawatan itu Azizah berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan kerajaan bagi membina semula gerai papan yang musnah dijilat api itu.

“Saya telah mengarahkan Pejabat Daerah membuat kajian dan pelan bangunan untuk cadangan pembinaan gerai yang baru. Cadangan awal bangunan baru ini kita akan bina menggunakan bahan konkrit dan saya akan berusaha mendapatkan peruntukan dari Jabatan Ketua Menteri,” katanya sambil berharap semua mangsa yang terbabit dapat bersabar.

MUSNAH....Keadaan gerai papan yang musnah dijilat api di Kg Rancangan Klias beaufort malam Isnin.

LAWAT....Azizah bersama pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat meninjau kesan kebakaran gerai papan di Kg Rancangan Klias Beaufort, kelmarin.

Hadir sama dalam lawatan itu, Penolong Pegawai Dearah, Mohd Shaid Othman, Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias, Saidin Museh, Penolong Pengarah JKM Beaufort, Rokiah Salleh, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Amsir Dani dan Penyelia Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort, Joseph Ganang.

Sementara itu, Joseph berkata pihak JBPM menerima panggilan kira-kira jam 11.58 malam dan tiba di tempat kejadian 18 minit kemudian dengan lima anggota.

Dengan bantuan sembilan anggota Bomba Sukarelawan Kg Rancangan Klias JBPM berjaya mengawal api pada 12.35 tengah malam.

Beliau berkata lima lot musnah dalam kejadian yang dimaklumkan bermula di lot No.5 dalam bangunan gerai yang mempunyai sembilan premis perniagaan itu. Punca kejadian dan anggaran kerugian katanya masih dalam siasatan.

11 comments:

  1. Harap kementerian ini akan menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran ini untuk membina semula premis perniagaan mereka.

    ReplyDelete
  2. Diharapkan pihak polis boleh mencari punca kebakaran ini.

    ReplyDelete
  3. Tahnih kepada JPBM dan Bomba Sukarelawan. Tindakan pantas seperti ini yang kita mahukan.

    ReplyDelete
  4. semoga bantuan tersebut dpt kurangkan penderitaan mangsa.

    ReplyDelete
  5. Datuk Azizah akan mencuba untuk meminta peruntukan dari Jabatan ketua menteri bagi meringankan beban mangsa kebakaran ini.

    ReplyDelete
  6. baguslah..bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka.

    ReplyDelete
  7. harap semua mangsa terus tabah menghadapi apa yang terjadi.

    ReplyDelete
  8. seorang pemimpin memang perlu sensitif bila terdapat rakyat yang mengalami masalah dan perlu dibantu dengan segera. syabas kepada Azizah, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat yang begitu cepat bertindak setelah menerima khabar tentang kejadian tersebut.

    ReplyDelete
  9. syabas kepada Datuk Azizah kerana pantas menghulurkan bantuan kepada mangsa dan begitu juga dengan anggota bomba..

    ReplyDelete
  10. Harap bantuan yang diberi dapat sedikit sebanyak meringgankan beban yang ditanggung.

    ReplyDelete
  11. lagi bagus kalau tu gerai dapat dibina semula.

    ReplyDelete