Saudara Pengarang,
PARA penduduk Long Pasia sukar untuk menerima hakikat bahawa Sabah sudah merdeka sejak 16 September 1963 kerana jalan raya di sini lebih teruk daripada ketika Sabah di bawah pemerintahan Jepun.
Sekalipun nama kontraktor penyelenggara jalan kami, Kekal Mewah Sdn.Bhd, memang mereka ‘kekal mewah’ kerana kerja tidak buat tetapi tuntutan dibuat sehingga penduduk kampung menderita sepuluh kali ganda daripada penduduk luar bandar di daerah lain di Sabah.
Semua gambar yang anda lihat di sini bukanlah dihasilkan melalui teknik ‘photoshop’ sebaliknya daripada kamera buruk kami yang masih menggunakan filem dan terpaksa mencuci gambar berkenaan di Kota Kinabalu sebelum menghantar email kepada Sabahkini.net untuk disiarkan.
Betapa ruginya kami sebagai Anak Jati Sabah yang saban tahun hanya menerima janji wakil rakyat, namun yang mendapat pembangunan disalurkan di tempat lain, terutama kepada PATI yang menghuni koloni setinggan yang mendapat pembelaan Kerajaan BN.
Janganlah kami mahu mengimpikan jalanraya berturap, mahu mendapatkan jambatan konkrit bagaikan menunggu durian tidak jatuh kerana belum berbunga atau berputik; melainkan Jambatan Gantung dan semua yang bergantung (janji tidak tertunai) termasuk ‘Balai raya’ yang setaraf kandang kambing.
Jalan raya di zaman ‘Burung Garuda’ ini menghubungkan enam kampung iaitu Kg. Long Pa’Sia, Kg. Long Mio, Kg. Meligan, Kg. Iburu, Kg. Ulu Bole dan Kg. Mendulong hanya diselenggara sekali sekali secara ‘ala kadar’ oleh Kekal Mewah.
Sehubungan itu, kami merayu agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman agar turun padang menggunakan kenderaan darat dan bukannya menggunakan helikopter; sekadar untuk berkongsi penderitaan kami.
Jika mereka tidak sanggup, lebih baik meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan amanah Perdana Menteri, Datuk Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mendesak Ahli Parlimen dan Adun mengutamakan rakyat dan mendahulukan pencapaian.
Sekian, Salam Perjuangan.
Ikhlas Daripada,
KEKAL MISKIN
Sipitang, Sabah.
Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dan bukannya 16 september 1963.
ReplyDelete