Sunday, 3 April 2011

KURUP PUKUL GENDANG, TARIAN PBRS SUMBANG



Oleh: GONOD SUNDA

GENDANG kosong PBRS kini berdentum-dentam berbunyi lagi setelah setiap dentuman bunyi gendang PBRS senantiasa dibayangi pukulan bunyi yang sumbang bersama alun suara yang garau dan kosong. Apa tidaknya kali ini Presiden PBRS, Tan Sri Kurup mendakwa kononnya 170 ahli SAPP Nabawan keluar parti dan menyertai PBRS dalam satu majlis bersama rakyat di Kg Sarikan baru-baru ini.

Menambah lucunya lagi apabila ‘permainan silap mata politik PBRS’ berlaku sumbang lagi setelah kenyataan itu mendakwa kononnya ahli-ahli SAPP yang menyertai PBRS adalah di kalangan ahli parti itu semasa berada dalam BN. Hakikat yang sebenarnya SAPP tidak pernah menubuh cawangan mahupun CLC ketika SAPP berada dalam BN kecuali selepas SAPP keluar daripada BN.

Sandiwara politik PBRS itu bagaimana pun mudah disambar oleh Exco Pergerakan Pemuda SAPP Pusat yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda SAPP Pedalaman, Larry Rafael yang sekaligus menyifatkan kenyataan itu sebagai suatu ‘permainan politik’ yang bertujuan untuk melemahkan pengaruh SAPP di kawasan Parlimen Pensiangan yang kini mendapat sambutan hangat di situ sejak kebelakangan ini.

Rakyat Pensiangan yang meliputi kawasan DUN Sook dan Nabawan tidak dapat disangkal lagi keinginan mereka untuk terus bersama SAPP kerana perjuangan SAPP adalah telus, berwawasan dan benci kepada amalan korupsi seterusnya ia lebih fokus kepada usaha untuk memertabatkan maruah bangsa, membangun sosio ekonomi seterusnya mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan tegar.

Larry Rafael yang gelihati apabila Tan Sri Kurup mengungkap pelbagai kata-kata manis bagaikan ‘gula-gula manis’ kepada rakyat tentang pembangunan, ekonomi dan sebagainya di Pensiangan, kerana Kurup seakan-akan tidak sedar bahawa ‘talian hayatnya’ selaku Ahli Parlimen yang diputuskan Mahkamah hampir sampai ke penghujung jalan, namun pembangunan penting untuk rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Hospital Nabawan dan beberapa batang jalanraya yang dijanjikan masih terbengkalai.

Malangnya dalam keghairahan PBRS dan Kurup ‘menjual ubat’, rakyat pula bertanya sesama mereka sendiri di antara mereka bahawa siapa pula yang tidak kenal Kurup yang pernah menjadi ‘Wakil Rakyat’ Sook selama 28 tahun termasuk beberapa jawatan ‘Menteri’ yang pernah disandangnya, tetapi DUN Sook dan rakyatnya masih seperti yang ‘dulu-dulu’ sebelum merdeka 47 tahun lalu.

Untuk berlaku adil, kalaulah kenyataan PBRS dan Kurup itu benar, mengapa pula PBRS tidak mendedahkan nama-nama mereka yang terlibat dan mendakwa diri mereka adalah ahli SAPP yang bertindak keluar dan menyertai PBRS sekiranya dakwaan itu benar dan bukan olok-olok seperti bersandiwara.

Pemuda SAPP Pedalaman dan Nabawan dalam bentuk baru tidak akan lemah semangat dan terpengaruh dengan propaganda serta dakyah kosong politik PBRS yang semakin hari rakyat mencemuh PBRS kerana suka menggayakan taktik ‘politik sandiwara dan gendang kosong’.

No comments:

Post a Comment