Thursday, 14 July 2011

SEKOLAH AGAMA ATAU SARKAS?




Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

WALAUPUN nama sekolah Agama Islam Sabah (SUIS) telah ditukar nama kepada Sekolah Agama Negeri Sabah (SANS), namun sekolah yang terletak di Batu Satu Setengah di Jalan Chi Wah, Sandakan ini masih terlalu daif untuk dibanggakan di sebuah negara Islam seperti Malaysia.

Mengimbau sejarah SANS, pada asalnya bangunan yang didirikan hanyalah sebuah Balai Raya, yang didirikan sekitar 1972 di era Kerajaan USNO kerana turut digunakan sebagai tempat mesyuarat USNO Bahagian Sandakan; manakala pada sebelah malamnya pula dijadikan madrasah tempat belajar mengaji Al-Quran.

Setelah BERJAYA mengambil alih tampuk pemerintahan daripada USNO sekitar 1976, barulah bangunan tersebut diubah suai dan digunakan sepenuhnya sebagai bangunan Sekolah Agama Islam Sabah yang ditadbir urus oleh Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan kini Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Ketika menerima arahan tugasan rasmi daripada Ketua Editor Sabahkini.Net di Kuala Lumpur, wartawan bergegas pergi kesekolah berkenaan dan sempat menemui beberapa orang guru yang sedang mengajar dalam keadaan serba kekurangan.

Mereka merayu dan memohon jasa baik JHEAINS dan wakil-wakil rakyat kawasan Sandakan supaya menghulurkan sedikit peruntukan untuk menaik taraf bangunan sekolah ini agar setanding dengan sekolah-sekolah lain demi keselesaan para murid yang belajar di sekolah berkenaan.

Dalam wawancara eksklusif dengan Penolong Kanan Guru Besar SANS, Ustaz Abdul Shah Norjan, antara lain menjelaskan sekolah itu yang sudah berusia 36 tahun merupakan salah satu sekolah agama yang terdapat daerah Sandakan.

Sekolah dua sesi ini kata Ustaz Abdul Shah, mempunyai murid seramai 263 orang dan mempunyai sembilan (9) orang tenaga pengajar, termasuk Guru Besar dan Penolong Kanan.

“Empat orang guru adalah guru dakwah yang dilantik khusus daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) seorang guru lagi lantikan daripada Pusat Zakat Negeri Sabah dan 3 orang lagi guru sukarelawan yang dibayar gaji melalui kuitpan bulanan daripada ibubapa murid-murid berkenaan,” kata Ustaz Abdul Shah yang mengakui pihaknya terpaksa menolak permohonan ramai murid yang ingin belajar di sini kerana masalah kekurangan bilik darjah, guru dan prasarana lain.

“Saya merayu kepada semua pihak termasuk wakil-wakil rakyat di sini, terutama yang beragama Islam agar dapat membantu dalam apa juga cara untuk menaif taraf sekolah agama ini. Mungkin setelah iti kami boleh menerima pelajar yang lebih ramai demi memartabatkan syiar Islam,” ujar Ustaz Abdul Shah lagi.

Kedudukan bangunan sedia ada yang terletak di pinggir bandar, kata Ustaz Abdul Shah tidak lagi sesuai melainkan jika dirobohkan untuk didirikan bangunan konkrit bertingkat agar lebih selesa bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah ramai.

“Kami juga merayu agar wakil rakyat kami dapat menderma sekurang-kurangnya lima set komputer yang lengkap dengan pencetak dan internet bagi memudahkan kami berurusan,” ujar Ustaz Abdul Shah lagi.

Tinjauan Sabahkini.net mendapati keadaan persekitaran sekolah dan bilik darjah tidak sesuai sebagai tempat untuk menimba ilmu amat menyedihkan sekali kerana dalam keadaan kekurangan serba-serbi dan tidak ubah seperti Kelas Dewasa dalam Filem Pendekar Bujang Lapok’ arahan P.Ramlee iaitu ketika Sudin mengeja ‘Alif Mim Nun Wau’ (UMNO) yang kemudiannya disebut sebagai Sarkas!

Persoalannya, di sebuah negara yang agama rasminya Islam dan pemimpin Negara mendakwa mereka beragama Islam, tetapi Sekolah Agama yang dibina seperti Sarkas.

Apalah ertinya jika pemimpin mempunyai mahligai yang besar dan mewah, jika dua buah Sekolah Agama lagi yang ada di Sandakan iaitu SANS Kampung Sungei Kayu dan SANS Pulau Kampung Nunuyan Laut yang dikatakan lebih daif dan lebih teruk daripada kandang kambing Feed-Lot!

No comments:

Post a Comment