Oleh : ISHAM RAIS
DI Malaysia ini, kita tidak tahu bila pilihan raya akan dijalankan. Kalau di zaman Mahathir Mohamad dahulu, kita berpilihan raya apabila Mahathir mendapat ilham. Ini bukan kenyataan fitnah. Orang ramai selalu terbaca tentang menunggu 'ilham' yang datangnya dari mulut Mahathir sendiri.
Di zaman Abdullah Ahmad Badawi, keadaan agak lucu. Ada pemerhati politik berpendapat bahawa tarikh pilihan raya ditetapkan oleh Khairy Jamaludin?, Menantu Abdullah. Ini tidak betul. Yang sahih ialah tarikh pilihan raya hanya diumum satelah Perdana Menteri, Abdullah terbangun dari mimpinya.
Di zaman Najib Razak ini, bila pilihan raya akan dijalankan menjadi lagi pelik. Mengikut surah Haji Desas bin Lebai Desus, tidak ada sesiapa yang tahu tarikh pilihan raya kecuali Rosmah Mansor. Amat pelik bunyinya. Lagi pelik dari ilham Mahathir. Lagi menakjubkan dari mimpi Abdullah.
Mengikut surah yang semakin tersebar, Rosmah akan mendapat tarikh ini dari Guru Ji yang akan menilik bintang-bintang di langit dan melihat perjalanan cakrawala di alam semesta. Pak bomoh dari Mumbai ini akan menasihatkan Rosmah bila saat dan ketika yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya. Saat dan ketika yang molek berpilihan raya ialah apabila bintang kelahiran Anwar Ibrahim mula tergelincir.
NAJIB TAKSUB ANGKA 11, ZAHID PULA 38
Ini bukan perkhabaran fitnah. Jangan lupa bagaimana seluruh jantung negara berdebar-debar apabila tarikh 11 November 2011 hampir sampai. Debaran jantung ini berpunca dari Najib sendiri yang percaya bahawa angka 11 ini membawa 'ong'? Najib dikatakan fasik dengan angka 11.
Sebenarnya bukan Najib seorang sahaja menteri kabinet yang percaya ada angka-angka khusus yang akan membawa tuah. Lihat Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi yang gila dengan angka 38, sehinggakan semua kereta yang dimiliki memakai angka yang sama.
Di sini, saya ingin menyebarkan maklumat bahawa penggunaan nujum dan bomoh untuk menetapkan tarikh pilihan raya ini bukan hanya amalan di Malaysia. Di Afrika? Peranan bomoh dalam politik harian cukup besar. Emperor Bokassa dari Afrika Tengah menggunakan khidmat bomoh siang dan malam. Ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Idi Amin Dada di Uganda dan Mobuto Sese Seko dari Congo.
Kita juga jangan buat-buat lupa pada satu ketika dahulu, bomoh juga memainkan peranan yang penting dalam real politik di Eropah. Sila buka kitab sejarah Revolusi Bolshevik 1917.
Selain dari nama Lenin dan Trotsky, kita akan berjumpa dengan nama Rasputin. Lelaki yang berselindung di belakang agama ini ialah seorang bomoh yang mempengaruhi Emperor Nicholas dan Pemaisuri Alexandra.
Mungkin ramai yang akan bertanya, kenapa agaknya para politikus ini menggunakan khidmat bomoh. Khidmat bomoh ini diperlukan kerana semua kerajaan dan pentadbiran di negara-negara ini tidak mendapat sokongan ramai.
Kerajaan yang bersikap ganas dan zalim memerlukan bomoh. Emperor Bokassa dan Idi Amin menjadi pemimpin negara kerana merampas kuasa. Manakala Mobuto dinaikkan oleh rampasan kuasa CIA. Emperor Nicholas di Rusia dibenci oleh rakyat hingga berlaku revolusi.
Bagaimana pula dengan Rosmah dan Najib ? Apa perlunya khidmat bomoh untuk mereka?
Ada Apa Dengan Angka ’11′ Najib? Kenapa Najib percaya kepada angka 11? Soalan ini akan membuka persejarahan politik negara kita.
Di Indonesia, 17 Ogos dipilih kerana di tarikh itu rakyat Indonesia yang mengangkat senjata berjaya menghalau Belanda. Di Rusia, 17 Oktober dipilih kerana di saat itu Revolusi Bolshevik berjaya menghalau Czar dan Czarina sementara Lenin mendirikan sebuah republik.
Di Tanah Besar China, mereka merayakan 1 Oktober kerana di hari itu, Republik Rakyat China telah diisytiharkan oleh Mao Tse Tung pada 1 Oktober 1949. Tarikh-tarikh ini diambil kerana sejarahnya.
Bagaimana pula dengan Tanah Melayu? Untuk warga yang peka pasti akan teringat bagaimana sekali sekala kita terbaca dari media arus perdana tentang sejarah tarikh pengisytiharan British memberikan pentabiran ini kepada United Malay National Organisation.
Tarikh 31 Ogos ditemui satelah menilik bulan dan bintang. Orang yang menilik bulan dan bintang ini pula tidak lain dan tidak bukan ialah ayahanda kepada Abdullah Badawi. Sayangnya ilmu menilik bintang dan bulan ini tidak turun ke Abdullah Badawi, maka terpaksalah Pak Dollah kita tidur untuk memimpikan tarikh pilihan raya.
Dalam budaya United Malay National Organisation, khidmat bomoh ini bukan sesuatu yang asing. Sesiapa yang rajin membaca dan mentelaah akan menyedari bahawa apa yang saya tulis ini adalah fakta sejarah. Ini berlaku pada tahun 1993 dahulu.
Kisah Artis Jadi Bomoh
Cuba ingatkan kembali kepada kisah perjuangan seorang penyanyi yang hanya sempat mengeluar sebuah album. Malah klip videonya pernah disiar oleh TV kita. Perempuan cun, langsing dan berambut panjang ini gagal menjadi penyanyi pop tetapi berjaya menjadi bomoh. Khidmatnya amat-amat diperlukan oleh orang-orang politik dalam United Malay National Organisation terutama ketika di tahun pemilihan dan tahun pilihan raya.
Sejarah membuktikan betapa dangkalnya Datuk Mazlan Harun seorang Adun dari Batu Talam, Pahang yang percaya kepada kuasa Tongkat Sukarno. Dengan memiliki rotan pendek yang pernah tersepit di celah ketiak Bung Karno, YB kita ini berharap dia akan terus dipilih sebagai calon untuk menjadi Adun.
Yang terserlah bijak di sini ialah bomoh Mona Fendy. Minah cun ini cukup faham tentang keberahian politikus Melayu Islam yang kemaruk untuk terus berkuasa.
Mona Fendy akhirnya berjaya membelit duit dan tanah Yang Berhormat ini. Rasa saya tidak ada kesedihan atau tragedi dalam kes bunuh ini. Si YB ini bukan sahaja kena tipu duit dan harta malah YB ini pun telah berpolitik untuk menipu orang kampung dan pengundi. Kedangkalan YB ini teserlah apabila dia membenarkan badannya dikerat lapan.
Politikus Juga Guna Khidmat Bomoh
Dari fakta perbicaraan kes Mona Fendy ini, orang ramai difahamkan bahawa memang ramai ahli politikus United Malay National yang menggunakan khidmat bomoh. Yang diketahui umum hanya seorang berdua tetapi hakikatnya pastilah lebih ramai lagi.
Apa sangkut pautnya fakta sejarah ini dengan PRU13? Untuk menjawab soalan ini, para pembaca yang budiman wajib menonton kembali klip video Rosmah Perempuan Puaka di Youtube.
Dari klip bersejarah ini, kita semua diberitahu oleh adik Rosmah sendiri bagaimana Sang Kakak telah menggunakan khidmat bomoh sebelum dan sesudah berkahwin dengan Najib. Klip ini juga memuatkan pengakuan isteri bekas Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan.
Bekas isteri Tuan Speaker ini mungkin tidak sedar bahawa dirinya bukan sahaja membocorkan rahsia Rosmah. Pengakuan ini cukup jelas membuktikan bahawa dia sendiri pernah bersama Rosmah mencari segala macam khidmat bomoh. Mengikut surah Mak Datin yang pekat dengan lorat Negeri Sembilan ini, Rosmah telah menggunakan khidmat bomoh untuk mengahwini Najib.
Di sini saya ingin menerangkan betapa para pemerhati politik dari luar negara gagal memahami politik Malaysia. Para wartawan dari akhbar dan majalah luar beberapa kali memberikan ramalan tentang tarikh pilihan raya. Banyak pemerhati dari luar yang mengkaitkan tarikh pilihan raya dengan keadaan ekonomi dunia, dengan harga minyak dan dengan kejayaan Najib membuat beberapa kenyataan yang mungkin dilihat menuju ke landasan demokratik.
Pandangan-pandangan dan analisa politik ini ada salah dan ada benar. Mengikut kajian ilmu politik moden, maka pastilah kedudukan turun naik ekonomi yang akan menjadi penentu tarikh pilihan raya. Analisa sebegini amat tepat untuk negara-negara Eropah Barat telah memasuki era pasca Rasputin. Tetapi menggunakan pendekatan ilmu politik moden yang sama untuk memahami keseluruhan politik Malaysia pasti satu kesilapan besar.
Lembu Rusia Dalam Kandang, Lembu Malaysia Dalam Kondo
Untuk memahami lebih dalam politik kontemporari Malaysia, biar saya bawa para pembaca kembali ke zaman Rasputin. Sosok ini hanyalah satu-satunya bomoh yang kewujudannya tercatit dalam sejarah moden Eropah.
Malah apa yang dilakukan oleh Rasputin ketika berkhidmat dalam Istana Czar Nicholas juga telah dirakamkan oleh sejarah. Rasputin boleh keluar masuk Istana tanpa larangan. Pemaisuri Alexandra mempercayai Rasputin lebih dari mempercayai penasihat rasminya.
Ketika Putera Alexei gering, Permaisuri Alexandra bukan mencari khidmat doktor tetapi meminta Rasputin mengubati anakandanya. Lelaki berambut dan berjanggut panjang diyakini oleh keluarga Czar Nicholas kerana Rasputin dikatakan memiliki ilmu mistik yang dapat melihat masa depan.
Rasputin wujud di detik-detik akhir sebelum monarki dihapuskan di Rusia. Ketika itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa sedang berleluasa. Siapa yang kaya dialah yang betul. Di Rusia ketika itu ada dua hukum ?satu untuk yang memerintah dan satu lagi untuk yang diperintah. Tidak ada hukum hakam yang dapat mengusik puak yang memerintah.
Apakah para pembaca yang budiman tidak dapat melihat persamaan di antara Rusia sebelum menjadi republik dengan apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita hari ini. Jika para pembaca dapat menggambar Rasputin keluar masuk ke Istana Czar Nicholas dengan menaiki kereta kuda? Cuba pula bayangkan Bomoh Ji dari Mumbai yang keluar masuk dengan Mercedez ke rumah rasmi Perdana Menteri di Putrajaya?
Kemudian cuba bayangkan rupa bentuk muka Guru Ji yang sedang menilik bulan dan bintang untuk mencari tarikh terbaik untuk Najib mengadakan pilihan raya. Jika masih tidak yakin dengan perbandingan dan tanda-tanda yang saya tulis ini, maka sila cari kembali akhbar harian minggu lalu. Buka dan baca berhati-hati. Lihat dan teka berapa ramai agaknya Guru Ji dan Rasputin sedang menjerit-jerit, berdoa dan berbaiah di bangunan PWTC.
Jangan lupa, sebelum Czar Nicholas dan Permaisuri Alexandra cuba melarikan diri dari Istana mereka juga telah berbaiah dengan Rasputin. Apa yang membezakan Rusia di zaman Rasputin dengan Malaysia di zaman Guru Ji hanyalah, lembu di Rusia tinggal dalam kandang; manakala lembu di Malaysia tinggal dalam kondo!
Tidak perlulah sampai menggunakan perkhidmatan bomoh untuk mengetahui tarikh pilihanraya. Bila masa dah datang, PM pasti akan mengumumkannya.
ReplyDeletemenggunakan bomoh adalah tidak baik, ia adalah amalan khurafat.
ReplyDeleteHairan bila sudah tahu guna bomoh2 ni salah tapi masih mahu menggunakannya. Terlalu mengejar nikmat duniawi.
ReplyDeleteTidak payah la guna bomoh. bertsndinglah dengan jujur
ReplyDeleteAgak sukar untuk kita menjangkakan bila PRU 13 akan diadakan. Namun semua itu terpulang dengan Datuk Najib sendiri sebagai PM Malaysia.
ReplyDeleteuntuk mencapai sesuatu, memang sanggup untuk lakukan apa saja walaupun ia salah.
ReplyDeletekenapa mahu ramal pilihanraya? mahu tunggu tarikh diumumkan baru mahu buat persediaan ka?
ReplyDeletedaripada sibuk ramal tarih pilihanraya, baik tengok kiri kanan kalau ada apa2 yang kurang..
ReplyDelete