Tuesday, 24 January 2012

GONG XI FA CAI, PANGLIMA LAO FU TZE!

Oleh : MUTALIB M.D

WATAK Old Master Q @ Lǎo Fū Zi yang popular melalui komik China hasil karya Alfonso Wong dan mula muncul di majalah di Hong Kong sejak 1962 sehingga kini mengingatkan saya kepada Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.

Ketika masyarakat Tiong Hua di Sabah menyambut Tahun Baru Cina, saya meneliti kembali watak-watak kartun La Fu Tze, 'Old Master Q' dan 'Big Potato' dan watak tambahan seperti Mr Chin, Mr Chiu dan Miss Chan; tambah menyedihkan saya kerana nampaknya; Lao Fu Tze @ Yong Teck Lee keseorangan dalam perjuangan politik Sabah hari ini.

Sabah sudah kehilangan tokoh Tiong Hua yang berkaliber untuk memperjuangkan masyarakat ini yang menjadi penentu setiap pilihanraya sejak 1969 sehingga kini kerana Yong Teck Lee tidak mempunyai regu untuk melakukan kejutan, sebagaimana kejayaan masyarakat Kadazandusunmurut (KDM) pada 1985 yang dipimpin oleh Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (Tan Sri); sehingga mampu menumbangkan gergasi 'Berjaya'.

Ketumpulan saiwar (perang psikologi) Yong Teck Lee dalam pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi menunjukkan SAPP tidak mampu untuk melancarkan serangan terhadap Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat kerana masih sebagai identiti 'BEBAS' sekalipun dianggap sebagai pembangkang yang 'ada sengat' (tidak berbisa) di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Parlimen.

SAPP masih gagal mengenal 'kawan dan lawan' kini semakin ketandusan isu setelah isu 20 Perkara, Royalti Minyak, PATI dan Ekonomi gagal meyakinkan rakyat; berbeza dengan isu 'Penjualan Pulau Labuan' pada 1985 yang membakar semangat rakyat Sabah untuk menukar 'baju'.

Program Transformasi Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah berjaya menjinakkan 'kegarangan' SAPP dan Parti Pembangkang lain setelah rakyat mempunyai saluran politik untuk meluahkan ketidakpuasan hati melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan institusi tertentu yang sebelum ini kurang interaktif dan responsif.

SAPP mula kehilangan pedoman sama ada untuk kembali ke pangkal jalan seperti PBS, atau terus 'BEBAL' menganyam mimpi untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah selepas pilihanraya umum akan datang; sebaris dengan mimpi STAR dan Pakatan Rakyat.

Yong Teck Lee, antara tokoh berkaliber dalam politik Sabah masih belum menemui formula untuk melakukan 'Finishing Touch' dalam kerjanya sebagai 'Sifu' Politik Sabah kerana isu PATI, 20 Perkara, Royalti Minyak dan Ekonomi telah berjaya di atasi dengan penuh komited oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Isu kemiskinan yang dilakarkan di Kanvas Politik Sabah oleh Bank Dunia hanya sekadar istilah kerana menurut Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihasilkan di Sidang Kemuncak Sedunia mengenai hal ehwal pembangunan sosial di Copenhagen pada tahun 1995, miskin tegar ditakrifkan sebagai;

“suatu keadaan yang dilanda dengan kekurangan dasar keperluan manusia, termasuk makanan, air minum yang bersih, kemudahan sanitasi, kesihatan, perlindungan, pendidikan dan informasi. Tidak bergantung sepenuhnya pada pendapatan, tetapi juga akses kepada perkhidmatan.”

Takrif kemiskinan ini lebih merujuk kepada kegagalan Dasar Pembangunan Negara dan kecuaian pihak yang melaksanakan NKRA sehingga pembangunan infrastruktur di Sabah terketinggalan 50 tahun di belakang Semenanjung Malaysia.

Sentuhan kecundang Yong Teck Lee di pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi tahun 2010, sekalipun bukan penentu hala tuju politik SAPP tetapi menampakkan SAPP amat memerlukan undi 'Bumiputera Islam' untuk menang.

Memandangkan Yong Teck Lee dan SAPP tidak mempunyai pengaruh di kalangan bumiputera Islam, maka kesilapan terbesar Yong ialah membuka pintu seluasnya kepada 'Bumiputera Islam' dan menawarkan jawatan tinggi parti kepada tokoh 'Sekadar di Pinggiran' di kalangan Bumiputera Islam; tetapi gagal melamar tokoh berpengaruh.

Dengan harapan mereka dipilih sebagai calon pada pilihanraya umum akan datang, SAPP akan menerima padah dikhianati kawan dan lawan, daripada luar dan dalam jika 'Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi' tidak mendapat tempat di 60 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen.

Kesilapan terbesar SAPP ialah pelancaran 'Pelan Ekonomi SAPP' yang menunjukkan Yong Teck Lee dan SAPP tidak bijak merancang ekonomi; terutama gagal memahami prinsip ekonomi mikro dan makro; serta mengamalkan 'ekonomi songsang' seperti ingin menghidupkan semula 'Perniagaan Tukar Barang' yang diketahui umum sebagai 'Pusat Jenayah Penyeludupan.'

Kini rakyat Sabah sudah boleh menilai keikhlasan SAPP yang telah mempamerkan semua senjata dan harta yang mereka ada bagi menentang BN dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Belumpun SAPP dan pembangkang bersedia untuk menggempur kubu BN, rakyat telah bertindak di luar jangkaan hasil daripada rangsangan kenaikan gaji, pemberian 'one off' seperti RM100, baucer buku dan baucer BR1M yang menyebabkan SAPP terkedu menunggu bala apa lagi yang bakal menimpa mereka.

Rakyat yang terlalu sensitif mula marah apabila ada pemimpin pembangkang memperlekehkan BR1M, Baucer Buku dan RM100 sehingga menyifatkan pemimpin pembangkang seperti PKR dan SAPP sebagai 'Anti-Pembangunan' apabila bantuan berkenaan ditakrifkan sebagai RASUAH!

Saya bimbang, nasib SAPP akan menjadi seperti 'BERSEKUTU' yang hanya dijadikan alat untuk memecahkan undi bagi membolehkan BN mempertahankan rekod tanpa kalah 99 % di Sabah sejak 1999.

Sebagaimana rakyat Sabah lain yang mengenali Yong Teck Lee, saya tidak boleh membayangkan bagaimana keadaan Sabah jika rakyat telah membuat keputusan untuk menukar baju dan memberi peluang kepada SAPP untuk menerajui Kerajaan Negeri, mungkin menubuhkan kerajaan campuran bersama STAR, DAP dan PKR.

Dengan kedudukan hasil dan simpanan tunai Sabah yang kukuh, SAPP mungkin boleh bertahan selama setahun; tetapi selepas itu terpaksa meminta sedekah kepada Kerajaan Persekutuan kerana 90 % hasil yang dikutip di Sabah masuk ke kantung Kerajaan Persekutuan.

Katakanlah Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan, SAPP yang menjadi pembangkang akan melalui nasib yang sama seperti penderitaan yang dialami PBS selama berada di luar Barisan Nasional.

Tetapi kita mungkin terpinga-pinga jika 'Ahli Politik Longkang' daripada DAP seperti Hiew Kong Cheu atau Jimmy Wong menjadi 'Menteri Pelancongan' atau 'Menteri Kewangan' kerana pengalaman yang mereka ada hanya menjadikan parit, longkang dan jalan rosak sebagai modal politik; sedangkan tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu mengurangkan jumlah walau seorang penduduk miskin tegar!

Sebagaimana PKR dan Pakatan Rakyat, SAPP tidak mempunyai 'Machinery' untuk mencapai pengundi 'akar umbi' kerana tidak mesra media; sekalipun media bebas seperti Sabahkini.net dan SabahkiniTV bersedia memberi liputan meluas; tetapi sikap 'kesombongan' Yong Teck Lee masih berterusan.

Oleh itu tidak hairan jika Kolumnis Free Malaysia Today, Joe Fernandez telah melemparkan 'cat merah' kepada kerjaya politik Yong Teck Lee dan SAPP.

Yong Teck Lee gagal memiliki 'Machinery' yang sanggup melakukan apa sahaja untuk SAPP sebagaimana perjuangan BORNEO MAIL untuk Parti Demokratik Sabah (PDS-kini UPKO); New Sabah Times (UMNO); Berita Sabah (PBS), Harakah (PAS) dan Suara Keadilan (PKR).

Sebagai Lao Fu Tze yang hanya berjalan kaki atau berbasikal, tanpa 'jentera perang' Yong Teck Lee akan menghadapi pilihanraya umum akan datang sebagai 'Panglima Hilang Gelanggang'; melainkan sanggup melakukan Transformasi Politik dengan mengamalkan Saiwar Sun Tzu, menumpaskan musuh di luar gelanggang!

Jika Tahun Baru Cina atau 'Guonian' merupakan hari kebesaran paling meriah dan penting bagi masyarakat Cina, sebagai memperingati kejayaan mereka menghalau makhluk ganas 'Nian' yang suka memakan manusia dengan bermain mercun, memakai baju merah, memasang lampu sehingga menjadi adat resam masyarakat Cina; apakah SAPP dan Yong Teck Lee berjaya menemui formula baru untuk menghalau 'BN', hampir sama bunyi dengan 'Nian' balik ke Semenanjung Malaysia?

Selebihnya, Woh Pu Chi Tau (Wa Sindili Pun Tak Tau) Gong Xi Fa Cai!

No comments:

Post a Comment