KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji kaedah pemilihan 222 wakil Parlimen Belia untuk memastikan kesaksamaan gender dan kumpulan etnik.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu berkata kementerian mencadangkan agar permohonan untuk menjadi wakil belia dilaksanakan secara talian berdasarkan kawasan parlimen di seluruh negara.
Cabaran besar proses ialah memastikan kesaksamaan gender dan semua kumpulan etnik, termasuk kumpulan minoriti mempunyai wakil di Parlimen Belia, katanya kepada pemberita, di sini Selasa.
"Proses pemilihan wakil belia dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua bulan yang akan datang," katanya yang sebelum itu mengadakan dialog dengan National Young Lawyers Committee yang diketuai Presidennya, Richard Wee.
Gan berkata mereka yang berusia di bawah 30 tahun layak untuk memohon menjadi wakil Parlimen Belia namun mereka perlu mendapatkan pencalonan daripada Majlis Belia Malaysia (MBM).
Parlimen Belia dijangka akan bersidang pada penghujung tahun ini atau awal tahun 2013 dan KBS serta MBM akan mengadakan satu persidangan percubaan pada Mac atau April ini, katanya.
"Persidangan percubaan ini adalah untuk memastikan persidangan Parlimen Belia nanti berjalan dengan lancar," katanya.
Penubuhan Parlimen Belia merupakan satu daripada enam perkara utama dalam pelan pembangunan belia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Himpunan Satu Juta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 pada Mei lepas.
Mengenai kejadian mahasiswa ditahan kerana menyertai demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi Ahad lepas, Gan berkata timbul beberapa tanda tanya dalam insiden tersebut.
"Saya hanya menonton klip video lapan minit itu. Banyak persoalan yang timbul...buat sementara ini biar siasatan diteruskan dan kita tunggu laporan," katanya. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment