Sunday, 22 January 2012

ONGKILI PENGERUSI CTI-COM



MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Sabtu memulakan tugasnya selaku Pengerusi Majlis Menteri-Menteri Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI-COM) dengan mengunjungi pengerusi terdahulu, Menteri Hal Ehwal Samudera dan Perikanan Sharif Cicip Sutarardjo Indonesia, di Jakarta.

Dalam satu kenyataan kementerian itu berkata kunjungan hormat berkenaan adalah bagi memulakan peralihan yang lancar dan laluan bagi penubuhan sektretariat serantau CTI secara tetap.

Menurut kenyataan itu, lawatan Ongkili ke kementerian berkenaan, termasuk mengadakan pertemuan dengan pegawai peringkat tertinggi Sekretariat Serantau CTI Interim (CTI-RS) yang diketuai oleh setiausaha agung kementerian, Dr Gellwyn Jusuf.

Pada Mesyuarat Menteri Ketiga yang diadakan di Jakarta pada Oktober tahun lepas, Malaysia dipilih sebagai pengerusi Majlis Menteri-Menteri CTI dan menubuhkan sekretariat serantau secara tetap.

Lawatan Ongkili juga akan menyediakan hala tuju kepimpinan tentang pelaksanaan pelan tindakan CTI bagi 2012-2013.

Pada pertemuan itu, Ongkili telah diberi taklimat mengenai kemajuan CTI dan beliau juga turut diberi bimbingan dan nasihat mengenai isu-isu berkaitan bagi penubuhan sekretariat tetap dan tindakan susulan yang dicadangkan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan lebih awal.

Pengerusi Eksekutif Sekretariat Serantau Dr Sudirman Saad berkata adalah penting untuk membuat langkah pertama yang strategik memandangkan CTI-RS telah bersedia untuk peralihan itu.

"Justeru, perjumpaan sekretariat serantau dengan pengerusi baru ini dilihat sebagai satu peristiwa penting untuk mendapatkan nasihat yang betul untuk merealisasikan pelan tindakan itu," katanya.

Ongkili turut mengunjungi Menteri Penyelidikan dan Teknologi Indonesia Prof Gusti Muhammad Hatta dan membincangkan kerjasama yang telah tejalin antara kedua-dua negara dalam bidang sains dan teknologi.

Kedua-dua menteri juga bersetuju untuk saling bekerjasama dan menjalankan penyelidikan dalam bidang produk semula jadi, bioteknologi, keselamatan siber, marin dan perikanan serta keselamatan makanan, tambah kenyataan itu lagi. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment