Wednesday, 4 January 2012

PAKATAN SEDIA HADAPI KEPUTUSAN LIWAT



Oleh : SHAZWAN MUSTAFA KAMAL (TMI)

PEMIMPIN Pakatan Rakyat hari ini berkata bersedia akan kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan dengan tuduhan liwat yang akan diputuskan pada 9 Januari ini, menambah rancangan baru akan dilaksanakan jika ia berlaku.

“Kepimpinan Pakatan Rakyat bukan sahaja saya dan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) tetapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang telah membincangkan perkara ini. Jika saya dipenjarakan, terlibat dalam kemalangan atau ditembak, kami bersedia, perbincangkan pelbagai kemungkinan, satu, dua atau tiga senario,” katanya kepada pemberita.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata senario itu merujuk kepada kemungkinan Mahkamah Tinggi akan mensabit kesalahan, membebaskan Anwar, sabitkan dengan jaminan atau sabitan tanpa jaminan.

Tetapi pemimpin Pakatan Rakyat enggan mengulas sama ada ia bermaksud Anwar akan digantikan dengan pemimpin lain sekiranya dipenjarakan.

“Jangan risau pasal perkara ini. Kami tahu apa yang perlu dilakukan. Mengapa anda bimbang,” kata Anwar kepada pemberita sambil tersenyum.

Keputusan kes liwat Anwar akan diketahui pada Isnin ini, tuduhan yang telah dinafikan sekeras-kerasnya dengan mengatakan ia satu rancangan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Ketua pembangkang itu tidak ambil peduli tentang dakwaan beliau mengadakan lawatan ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan simpati.

“Ia bukan hanya tentang 9 Januari, ia juga tentang skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan kenaikan kos hidup,” katanya.

Anwar juga mengesahkan laporan The Malaysian Insider bahawa konvensyen Pakatan Rakyat yang akan diadakan pada 13 Januari hingga 14 Januari di Alor Setar, Kedah dan ia akan memberi fokus kepada manifesto parti perikatan itu.

Beliau berkata tema konvensyen itu adalah ‘Bersihkan Malaysia’ dan akan memberi fokus kepad isu-isu yang melibatkan perkhidmatan awam, federalisme dan berkenaan mahasiswa dan beliau.

“Pakatan Rakyat mengecam sikap kerajaan BN terhadap perjuangan mahasiswa untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),” kata Anwar merujuk kepada penahanan 17 aktivis mahasiswa semasa demonstrasi aman di Universiti Perguruan Sultan Idris pada pagi Ahad lalu.

Beliau turut mengumumkan cadangan Pakatan Rakyat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa saluran televisyen bebas perlu diwujudkan untuk mengeluarkan laporan yang adil semasa pilihan raya umum.

Anwar berkata saluran itu perlu diuruskan oleh SPR dan ia patut membenarkan liputan yang sama antara Pakatan Rakyat dan BN.

No comments:

Post a Comment