Saturday, 7 January 2012

PAS KINI TEMPAT MELUAH MASALAH



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

KEGAGALAN wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini mengurus hak rakyat mengundang pelbagai andaian dan kemarahan penduduk setempat di Pedalaman Sook, Keningau, Sabah.

Yang DiPertua PAS Pensiangan, Hisammuddin Sulaiman hari ini turut menyuarakan kekesalannya terhadap wakil rakyat yang gagal mempamerkan komitmen dan keprihatinan mereka terhadap rakyat kawasan yang mereka wakili.

“Mereka mengadu kepada kita (PAS). Mereka tercari-cari di mana wakil rakyatnya. Sudah 48 tahun merdeka, 17 tahun BN perintah negeri ini, tapi wakil rakyatnya susah mau jumpa,” katanya.

Menurutnya, rakyat tidak harus dipersalahkan hanya kerana kebakaran beberapa kuarters pekerja yang dimiliki sebuah syarikat balak. Siasatan yang menyeluruh termasuk kemungkinan adanya penyalahgunaan kuasa dan rasuah perlu dijalankan dengan tidak mengira kepentingan politik dan individu terlibat.

“Kita (PAS) tidak mahu pihak polis terus menyalahkan rakyat atas kejadian itu. Polis sepatutnya sudah tahu isu sebenar dan bertindak mengikut peraturan dan bidang kuasa yang ada.

“Jangan jadi pengikut setia kepada pemaju yang dikatakan mengorek secara haram hasil rakyat tempatan. Ini zalim dan menindas orang yang lemah,” jelasnya.

Dalam satu kejadian yang berlaku kira-kira 11 pagi di Kg. Alab Lanas, Sook beberapa kuarters pekerja yang dimiliki pemaju syarikat balak didakwa musnah dibakar sekumpulan orang yang tidak senang dengan apa yang mereka dakwa sebagai mencerobohi tanah nenek moyang mereka.

Tambah Hisammuddin lagi, kehidupan rakyat pedalaman terutama di Sook yang bergantung hasil dan sumber rezeki daripada tanah adatnya perlu dipertahankan oleh pihak kerajaan negeri.

“Tanah adat mereka ini perlu dipertahankan. Macam mana mereka tidak marah, tanah mereka diambil secara haram, sumber rezeki mereka di musnahkan sesuka hati.

“Apa kita gembira dan senang kalau harta dan sumber hasil penat lelah dan warisan dirampas? Jangan jadi jaguh di kampung sahaja,” tegas Hisammuddin.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu menegaskan bahawa sikap wakil rakyat yang tidak menghiraukan permasalahan penduduk telah mencerminkan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memberi kefahaman dan terjemahan konsepnya kepada anak buahnya mengenai perpaduan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

“Satu lagi produk kegagalan BN diterajui Najib yang gagal diterjemahkan barisan pemimpinnya. Mereka cuma tahu, harta rakyat didahulukan pencapaian bini diutamakan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment