OLEH: KREW SABAHKINI.NET
SEORANG Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Kuala Penyu didakwa berpakat dengan dengan seorang pembekal kulat, yang juga bekas Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) di daerah tersebut menyeleweng peruntukan yang disalurkan ke Pejabat Daerah berkenaan sejumlah ratusan ribu ringgit bagi pembekalan bibit kulat.
Adalah dipercayai, ADO telah mengatur pembayaran bagi tuntutan penuh peruntukan setiap tahun, namun pembekalan bibit kulat hanya dilakukan ala kadar sahaja yang menimbulkan tanda tanya peserta terlibat.
"Pembekalan bibit kulat hanya sedikit sahaja, tetapi tuntutan penuh pembayaran sudah dibuat dan perkara itu hanya dalam pengetahuan ADO dan bekas PKR berkenaan," dakwa peserta yang sangat kecewa dengan keadaan itu.
Peruntukan itu difahamkan dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan disalurkan ke Pejabat Daerah bagi membantu golongan miskin di luar bandar memperbaiki taraf hidup melalui program penanaman kulat dan penternakan itik.
Berikutan itu, seorang peserta terlibat yang enggan namanya disebutkan meminta kementerian atau jabatan yang berkenaan supaya menjalankan siasatan terhadap penyelewengan itu agar tuntutan palsu seperti itu tidak berlarutan.
Katanya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga harus tampil menyiasat perkara itu kerana ia satu pembaziran wang kerajaan selain program itu tidak memberi sebarang manfaat kepada peserta terlibat.
"Kami tidak nampak apa-apa hasil program ini melainkan ia sekadar mengisi kocek ADO dan rakan sekongkolnya, bekas PKR itu," dakwanya.
ADO tersebut juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan mendapatkan suapan daripada kontraktor kelas F bagi projek PPPRT, yang turut disiasat SPRM.
Baru-baru ini pegawai terbabit juga dikatakan menjadi serba salah apabila para pegawai dari Jabatan Ketua Menteri ingin meninjau projek jalan yang dibiayai JKM namun dipercayai berlapis.
No comments:
Post a Comment