KEDUTAAN Malaysia di Syria
akan terus memujuk lapan pelajar Malaysia di Syria yang enggan pulang ke tanah air dari di
negara Timur Tengah itu yang dilanda pergolakan yang semakin meruncing.
"Pihak kedutaan akan
terus memujuk mereka kerana tiada siapa dapat menjamin keselamatan mereka dalam
situasi sebegini," kata Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot ketika
menyambut ketibaan sekumpulan tujuh penuntut Malaysia di Syria, di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Mereka tiba jam 4.25 petang
dengan penerbangan Emirates. Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar Malaysia
yang dibawa pulang ke tanah air berikutan konflik yang tercetus di negara Timur
Tengah itu.
"Setakat ini yang
paling penting semua rakyat Malaysia selamat dan tiada yang tercedera di negara
itu," tambahnya.
Dalam pada itu, beberapa
pelajar Malaysia yang tiba semalam bersyukur kerana dapat meninggalkan Syria,
sambil berterima kasih kepada kerajaan atas usaha tersebut.
Muhammad Hasan Hilmi Hassan
Shukri, 21, yang berasal dari Bangi, berkata keadaan semakin meruncing sejak
minggu lalu dengan kejadian tembakan tidak jauh dari kediamannya yang
menyebabkan beliau tidak berani keluar rumah.
"Alhamdulillah saya
bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya mewakili enam pelajar
lain mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Wisma Putra, Majlis Keselamatan
Negara (MKN) dan Kedutaan Malaysia di Syria atas usaha membawa kami
keluar," katanya kepada pemberita.
Bagi Muhammad Afifuddin Md
Tahir, 23, beliau lega kerana dapat pulang ke tanah air walaupun pada mulanya
enggan berbuat demikian kerana bersemangat untuk meneruskan pengajian di sana.
Pelajar tahun pertama sebuah
kolej syariah itu bagaimanapun berkata setelah kejadian tembak-menembak berlaku
tidak jauh dari kediamannya, pulang ke tanah air dianggap pilihan terbaik.
Menceritakan pengalamannya,
Muhammad Afifuddin berkata walaupun tidak mempunyai masalah bekalan makanan,
banyak kedai ditutup dan penduduk juga diminta meninggalkan masjid sebaik
selesai menunaikan solat.
"Kalau sebelum ini kami
biasa membaca Al-Quran selepas solat, namun kami tidak lagi dibenarkan berbuat
demikian. Malah solat Terawih juga dipendekkan daripada 20 ke lapan
rakaat," katanya.
Mohd Luqman Saidin, 23, pula
berkata beliau dapat melihat cahaya daripada bedilan roket dan senjata api pada
waktu malam daripada kediamannya.
"Ketika itu saya hanya
mampu berdoa agar semuanya selamat," kata pelajar itu yang berasal dari
Kuala Ketil, Kedah. (Bernama)
No comments:
Post a Comment