LETIH.....Anwar
dikatakan kenampakan letih walaupun kini mempunyai peluang terbaik untuk
mencapai impian beliau.
KUALA LUMPUR : Datuk Seri
Anwar Ibrahim 'mungkin' akan meninggalkan arena politik jika beliau gagal
memperolehi kuasa dalam pilihan raya umum ke-13, kata Ketua Pembangkang itu
kepada Financial Times (FT).
Dalam satu temuramah dengan
akhbar perniagaan itu hari ini, ahli politik berusia 64 tahun itu menjelaskan
beliau sudah letih dengan politik walaupun pilihan raya akan datang bakal
menjadi ledakan terakhir buatnya menjadi Perdana Menteri Malaysia, selepas
dipecat 13 tahun lalu dan dipenjara atas dua kesalahan seks luar tabii dan
rasuah.
“Kami membentangkan
manifesto, polisi, dan sudah tentu, jika diberi mandat, saya teruskan; jika
tidak, saya akan balik mengajar semula,” kata Anwar kepada FT.
Akhbar berpengaruh itu
menjelaskan Anwar dilihat semakin letih walaupun berhadapan dengan peluang
terbaik beliau untuk untuk memimpin negara dengan 28 juta populasi berbilang
kaum yang kian tawar hati dengan pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Berumur 65 sekarang, Anwar
mengakui ini ‘mungkin’ langkah terakhir sebelum beliau menjadi Perdana Menteri,”
kata akhbar itu lagi.
Ketua Pakatan Rakyat (PR)
itu telah menjalankan kempen untuk mengambil alih Putrajaya daripada BN dan
telah mempengaruhi rakyat dengan idea masyarakat yang tidak mementingkan
mana-mana kaum dan sebaliknya berasaskan merit.
“Kami sedang merubah
landskap politik negara. Saya merasakan jumlahnya sangat besar, terutamanaya
golongan muda, mahu Malaysia berubah menjadi matang, lebih demokrasi,” katanya
kepada FT.
Namun, ketua pembangkang itu
masih diganggu oleh masalah kesihatan berterusan dan isu undang-undang yang
boleh menjejaskan matlamat mereka ke Putrajaya.
Walaupun dibebaskan daripada
tuduhan liwat kedua awal tahun ini, pihak pendakwaan masih mencari jalan untuk
mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dan mempunyai 10 hari lagi untuk berbuat
demikian.
Ini mungkin berakhir dengan
Anwar di penjara, tamparan hebat yang bakal menghancurkan impian untuk seorang
lelaki yang berhasrat menjadi Perdana Menteri dan mencacatkan peluang PR pada
pilihan raya akan datang.
Musuh politik Anwar, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah mengaitkan Bersih, sebagai satu
perhimpunan untuk menjatuhkan kerajaannya.
Anwar dan dua pemimpin PKR
dikenakan beberapa dakwaan berhubung keganasan dalam perhimpunan 28 April lalu
menuntut pilihan raya adil dan bersih, dengan yang terbaru dikenakan semalam,
memungkinkan mereka dipenjarakan sehingga dua tahun jika didapati bersalah,
menggugurkan beliau daripada status pemimpin politik dan meletakkan beliau
dalam ranjau politik yang telah beliau tinggalkan sejak kembali empat tahun
lalu.
No comments:
Post a Comment