Oleh : AMIN ISKANDAR
PETALING JAYA : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU), Tony
Pua telah berjaya mengumpulkan RM150,000 dari orang ramai melalui kempen
internet di Facebook dan Twitter bertajuk 'RM1 untuk hak air' dalam masa
seminggu untuk membantunya membayar saman malu yang dikemukakan oleh Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam saman fitnah syarikat tersebut
kepada Setiausaha Publisiti DAP itu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan
fitnah dalam sebuah akhbar berbahasa Cina.
"Setakat ini kami sudah
mengumpulkan derma dari internet sebanyak RM150,000," kata Tony Pua ketika
ditemui oleh The Malaysian Insider dalam majlis makan malam untuk mengumpul
dana bagi membantu beliau.
Bulan lalu, Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur memutuskan, Tony Pua bersalah dan perlu membayar saman sebanyak
RM200,000 kepada Syabas disebabkan oleh artikel yang disiarkan oleh akhbar
Nanyang Siang Pau pada 16 November 2010 yang bertajuk "Tony Pua: Kerajaan
Negeri Perlu Kawal Hak Pengurusan Air Bagi Memastikan Tarif Air Tidak Mengalami
Kenaikan."
Di antara pimpinan Pakatan
Rakyat (PR) yang turut hadir bagi menyokong majlis makan malam "Solidariti
dan Sokongan Tony Pua lwn Syabas" adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim, Charles Santiago, Teresa Kok, Lim Kit Siang dan Gobind
Singh.
Dalam ucapan Charles
Santiago, beliau mengatakan air tidak seharusnya diswastakan kerana ia
merupakan keperluan asas.
"Kita harus menghantar
isyarat kepada Najib Razak (Datuk Seri) agar memulangkan pengurusan air
Selangor kepada kerajaan PR," kata Charles disambut dengan sorakan
hadirin.
Ahli parlimen Ipoh Timur,
Lim Kit Siang menggelar Tony Pua sebagai wira bagi hak mendapatkan bekalan air
bagi negeri Selangor.
"Tony Pua bukan sahaja
wira bagi hak mendapatkan bekalan air bagi negeri Selangor, tetapi untuk
seluruh Malaysia," kata ahli politik veteran itu lagi.
Gobind Singh mengatakan,
selepas empat tahun, negeri-negeri PR membuktikan bahawa pentadbiran mereka
bersih dari rasuah.
"Transparency
International (TI) mengiktiraf Pulau Pinang sebagai negeri yang paling
diuruskan dengan baik dan bebas rasuah," kata ahli parlimen Puchong.
Anak kepada pengerusi DAP,
Karpal Singh itu juga mendakwa, PR sudah bersedia untuk mengambil alih
Malaysia.
"Selepas empat tahun,
dalam PR kita sudah mempunyai ramai pemimpin yang baik dan telah bersedia untuk
memerintah Malaysia," kata Gobind lagi.
Jumlah kutipan yang telah
berjaya dikumpulkan selepas majlis makan malam adalah sebanyak RM310,000.
RM200,000 akan digunakan
untuk membayar Syabas manakala baki sebanyak RM110,000 akan digunakan dalam
dana PRU 13 bagi DAP.
No comments:
Post a Comment