Oleh : AHMAD FADLI KC
KELAB Taat Suami (KTS)
berpendapat, istilah rogol tidak wujud dalam perkahwinan kerana isteri
merupakan sumber seks halal kepada suami.
Menurut Presidennya, Fauziah
Ariffin, kelab itu menganjurkan kepada para isteri supaya berperanan sebagai
penghibur kepada suami mereka, selain menjalankan tugas-tugas asas seperti
menyediakan makan dan minum untuk suami dan ahli keluarga lain.
"Kalau begitu (wujud
istilah rogol dalam perkahwinan) apa tujuan perkahwinan? Tujuan manusia
berkahwin untuk halalkan apa yang tidak halal sebelumnya. Ia sebagai jalan keluar
agar suami tidak buat jahat, berzina dan ke neraka.
"Kamu kata kamu cinta
suami kamu tapi bila dia nak layanan kamu, kamu tak beri. Cinta apa? Kalau
perempuan itu mengharapkan syurga Tuhan, tentulah dia sanggup berkorban,"
kata Fauziah yang merupakan isteri kedua kepada bekas seorang pemimpin
tertinggi Al-Arqam.
Kelab pro-poligami itu
diasaskan melalui kumpulan syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh
bekas pemimpin Al-Arqam selepas kumpulan tersebut diharamkan sejak 1994.
Serpihan Al-Arqam, Rufaqa
Corporation Sdn Bhd juga menerima tindakan sama pada 2006.
Pandangan berkenaan berbeza
sama sekali dengan undang-undang sivil yang mempunyai peruntukan khusus untuk
kesalahan rogol dalam perkahwinan.
Di bawah Seksyen 375A Kanun
Keseksaan, seorang suami yang cuba mendapatkan seks secara paksa daripada
isterinya boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga lima tahun jika sabit
kesalahan.
Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia (Suhakam) pada tahun 2004 juga berpendapat perbuatan merogol isteri
adalah satu kesalahan di bawah Perkara 16 (1)(c) Konvensyen Menghapuskan Semua
Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita PBB.
Peruntukan itu menetapkan
setiap pasangan mempunyai hak yang sama di dalam sebuah perkahwinan dan
keganasan terhadap wanita dalam perkahwinan menjadikan wanita lebih lemah dan
lelaki lebih berkuasa.
Menurut Fauziah, seorang
suami secara nalurinya akan menjadi bertimbang rasa jika perempuan itu sendiri
pandai melayan suami mereka.
Bentuk layanan yang patut
diberikan kepada suami juga, adalah salah satu perkara yang diajarkan KTS
kepada ahli-ahlinya, jelas Fauziah.
Rambut
bau bawang
"Kita akan cerita pada
wanita bagaimana untuk menjadikan suami dia seorang yang 'mahu' dan sebagainya.
Sebab itu perempuanlah yang memainkan peranan, dia menghiburkan suami.
"Perempuan sekarang ini
bukan tak pandai nak layan tetapi ilmu itu tidak ada pada dia. Sepatutnya apa
yang pelacur buat, itulah yang isteri perlu buat.
"Apabila isteri itu
beri layanan (kelas pertama), automatik suami itu akan memberi respon (yang
baik).
"Yang kita tengok
sekarang dalam masyarakat isteri letih apabila suami balik (rumah), rambut pun
bau bawang, serabai bertocang. Sedangkan di luar dia tengok perempuan cantik
tapi di rumah dia tak dapat benda itu," kata Fauziah.
Namun begitu, beliau
menegaskan KTS tidak mengadakan sebarang kelas praktikal kepada ahlinya seperti
disangkakan orang ramai.
"Kita mengajar panduan
kepada orang yang patut, yang halal. Kita bukan keluarkan figure (gambarajah),
itu memang Allah tak bagi. Kita bukan buat praktikal, tunjuk gambar, tidak.
Kita buat secara tertutup," katanya.
Mengulas kontroversi
berkenaan "layanan pelacur kelas pertama" yang pernah disebut KTS,
Fauziah menjelaskan ia adalah satu perumpamaan kerana orang ramai tidak dapat
membayangkan 'layanan seperti bidadari' yang perlu diberikan isteri kepada
suami.
"Kena layan suami lebih
dari pelacur kelas satu, takkanlah suruh jadi pelacur pula. Saja (ada) orang
nak bagi gimik (untuk KTS). Kita cuma bagi perumpamaan," katanya.
Seks
oral dibolehkan
Pada masa sama, KTS juga
berpendirian bahawa seks oral boleh diamalkan di antara pasangan yang
berkahwin.
Pandangan itu berbeza dengan
undang-undang sivil yang mengkelaskan seks oral sebagai satu kesalahan di bawah
Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Di bawah seksyen itu, mereka
yang bersalah boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara.
"Allah sebut dalam
Quran isteri kamu adalah ladang bagi kamu, buatlah apa-apa pun yang kamu suka
pada dia, cuma jangan berlaku liwat. Itu sahaja. Jadi kita sudah ada garis
panduan," katanya.
Menurutnya, seks oral juga
merupakan satu lagi cara untuk suami isteri melakukan hubungan badan apabila
isteri dalam pantang atau sewaktu didatangi haid.
"Jadi katakanlah isteri
dia uzur, dan dia cuma ada seorang sahaja isteri, jadi suami boleh buat perkara
dibolehkan dan membuat hubungan suami isteri (secara oral) selagi mana dia
tidak memasukkan alatnya ke situ (liwat).
"Katakan isteri dalam
pantang, tetapi Allah cipta suami dia seorang yang keperluannya tinggi dalam soal-soal
seks ini, hendak tunggu berapa hari lagi?
"Jadi tanggungjawab
isteri itulah untuk memberi kelegaan kepada nafsu suaminya supaya suaminya
tidak terjerumus ke dalam neraka," kata Fauziah yang memiliki ijazah
pertama dari sebuah universiti Australia.
Menurutnya lagi, lelaki
secara semula jadi mempunyai keinginan yang tinggi terhadap seks. Malah
katanya, nabi-nabi dan rasul juga diketahui umum sebagai mereka yang memiliki
kekuatan luar biasa di ranjang.
"Kalau kita baca
kitab-kitab, yang paling hebat dalam melakukan hubungan suami isteri ini adalah
para rasul.
"Sewaktu belum ada
syariat empat orang isteri, Nabi Sulaiman ada seribu orang isteri. Nabi Daud
pula 99 orang isteri dia.
"Sebab itu orang yang
lebih hebat iman dia, lebih terhubung dengan Tuhan ini, dia lebih hebat lagi
(di ranjang).
"Tetapi orang kita yang
tengok video lucah ini, dia tidak dapat pun nikmat itu kerana Allah dah
halang," katanya.
(Nota
: Wawancara dijalankan oleh Jimadie Shah Othman, Ahmad Fadli KC dan Siti Sara
Ghazie. -MKINI)
No comments:
Post a Comment