PETALING JAYA: Seramai 24
peserta dipilih untuk berentap menunjukkan bakat kehebatan memasak
masing-masing menerusi program realiti masakan popular, Masterchef Malaysia
yang kembali untuk musim kedua.
Pengurus Saluran Astro Ria,
Raqim Ahmad berkata, pilihan peserta yang merupakan dari pelbagai latar
belakang dan kepakaran itu dibuat berdasarkan kualiti dan potensi yang baik
untuk pergi jauh dalam bidang seni kulinari.
"Selepas program ini
mencetus fenomena pada musim pertama, pihak kami dengan bangganya menerbitkan
kembali MasterChef Malaysia 2 di mana ia bukan sehaja mengangkat seni kulinari
Malaysia, tetapi turut meliputi bahan dan peralatan yang digunakan untuk
persediaannya.
"Kami juga turut
menerapkan elemen Malaysia pada set studio yang digunakan untuk membangkitkan
semangat para peserta menyediakan hidangan yang terbaik.
"Jujurnya, saya amat
teruja dan tidak sabar untuk melihat kesungguhan, kreativiti dan daya saing
para peserta musim ini untuk beraksi di dapur," katanya dalam sebuah
kenyataan akhbar yang diberikan kepada mStar Online.
JURI.....Barisan
juri profesional yang akan menilai masakan-masakan peserta.
Peserta-peserta itu dipilih
menerusi sesi ujibakat yang telah pun bersiaran pada 8 September lalu (Astro
Ria) dengan mengharungi beberapa rintangan dan penyingkiran sebelum berjaya
meneruskan perjalanan mereka dalam program ini.
Gabungan tiga juri daripada
musim lalu iaitu Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe, Chef
Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran masih lagi dikekalkan bagi musim kali ini.
"Tiga orang tukang
masak yang berpengalaman dalam penyedian makanan di peringkat tempatan dan
antarabangsa ini bakal menilai masakan para peserta sepanjang musim ini.
"Saya percaya
ketiga-tiga juri ini mampu menilai makanan yang terbaik hasil daripada masakan
para peserta," tambah Raqim.
Bertemakan 'Dapur Malaysia
ke Persada Dunia', MasterChef Malaysia 2 lebih menekankan mengenai penyediaan
masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pada masa yang sama, program
realiti masakan ini masih memberikan inspirasi dan peluang kepada para peserta
mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang
berpengalaman dalam dunia masakan.
Juara MasterChef Malaysia 2
bakal memenangi wang tunai RM100,000 dan berpeluang untuk tampil di pelbagai
program yang akan diaturkan pihak Astro kelak.
Program ini disiarkan pada
setiap hari Sabtu hingga Khamis, pukul 9 malam hanya di Astro Ria (Saluran
104).
No comments:
Post a Comment