KUALA LUMPUR : Pengawal
peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan atas dakwaan mengacu pistol di
khalayak orang ramai dalam Jelajah Merdeka Rakyat berada di Jasin, Melaka,
petang semalam.
Pengawal peribadi yang
berusia 37 tahun itu, dikenali sebagai Dino, dipercayai mengacu pistol selepas
sekumpulan lelaki cuba menghalang jelajah ketua pembangkang itu ke sebuah
majlis anjuran PKR di Kampung Baru Rim.
Orang ramai yang marah dalam
kejadian itu, kemudian menyerbunya dan keadaan menjadi kecoh.
Beberapa anggota polis yang
berkawal di tempat kejadian pantas menyuraikan kekecohan sebelum menahan dan
membawa lelaki Itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Laporan polis kemudiannya
dibuat oleh Pemuda Umno dan Belia 4B Jasin jam 6.30 petang di IPD berkenaan.
Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Jasin Zaidi Attan dan Timbalan Pengerusi Gerakan
Belia 4B Jasin Zulkifli Kalil.
Ketua Polis Melaka, Datuk
Chuah Ghee Lye, ketika dihubungi, mengesahkan menahan seorang pengawal sebuah
syarikat keselamatan yang ditugaskan untuk mengawal Anwar.
“Siasatan mendapati senjata
api itu milik syarikat keselamatan dan pengawal terbabit dibenarkan membawanya
ketika bertugas. Kita menahan pengawal itu dan turut merampas senjata apinya
untuk siasatan.
“Kita menyiasat dari
pelbagai aspek sama ada dia mengacukan pistol ke arah orang ramai atau hanya
mengeluarkan senjata dan memegangnya di celah baju,” katanya dipetik dari
laporan Sinar Harian.
Chuah berkata, pihaknya
menerima empat laporan berhubung kejadian itu sehingga petang semalam.
Seorang pemimpin belia 4B
Jasin berkata, beliau terkejut dengan tindakan lelaki terbabit kerana beliau
bersama beberapa rakan tidak melakukan sebarang tindakan berunsur provokasi.
“Saya hanya berdiri di tepi
jalan untuk memberi laluan kepada rombongan Anwar ke tapak ceramah.
“Namun, secara tiba-tiba,
pengawal peribadi itu meluru keluar dari keretanya lalu mengacukan pistol ke
arah saya sambil berkata ‘masuk’ (dalam keadaan mencabar orang ramai dengan
pistolnya).
“Saya dan beberapa rakan
terkejut dengan tindakannya dan hanya berdiam diri sebelum lelaki itu masuk
semula ke dalam kereta dan beredar,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment