MANGSA.....Mayat
kedua-dua mangsa yang diletakkan berhampiran lokasi ditemui.
By : RUZAINI ZULKIFLI
PUTATAN: Keseronokan
beriadah ketika ponteng sekolah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua murid
tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Putatan mati lemas setelah mandi manda di
laut berhampiran Taman Teluk Villa di sini.
Mangsa dikenali sebagai
Mohammad Nurrabbiyel Ismail, 9, dan Sufian Sahide, 9, ditemui terapung
berhampiran tebing perumahan taman itu oleh beberapa penduduk setempat sekitar
jam 6 petang Isnin lepas.
Dikatakan kedua-dua mangsa
sebelum itu telah ponteng sekolah sidang petang bersama dua lagi rakan yang
lain untuk mandi di lokasi berkenaan.
Beberapa saksi kejadian
mengatakan murid-murid itu pada mulanya telah ditegah oleh sekumpulan nelayan
berhampiran tempat kejadian untuk mandi memandangkan keadaan laut bergelora
berikutan cuaca buruk namun tidak diendahkan mereka.
Ketika ditemui, kedua-dua
mangsa terbabit masih lengkap berpakaian sekolah dan berkasut namun disahkan
meninggal dunia akibat mati lemas oleh petugas hospital yang tiba di lokasi
insiden.
Menurut Abdul Malik Abdul
Raup, 40an, yang merupakan salah seorang penghuni di taman itu, pada mulanya
dia diberitahu oleh sekumpulan remaja yang terlihat benda terapung seakan-akan
mayat kanak-kanak berpakaian sekolah.
“Mengetahui kejadian itu,
saya lalu memaklumkan kepada kejiranan perumahan ini untuk melakukan
pemeriksaan.
“Setelah tiba di lokasi itu,
saya dan beberapa lagi rakan amat terperanjat apabila mendapati benda terapung
terbabit rupa-rupanya adalah mayat dua kanak-kanak lemas.
“Kami kemudiannya
menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan,” katanya yang juga merupakan
guru sidang pagi di SK Putatan.
Sementara itu, bapa kepada
salah seorang mangsa terbabit, Ismail, 40an, dari Kampung Sailan di sini, tidak
dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila mendapati anaknya mati lemas dalam
kejadian itu kerana menyangkakan Mohammad Nurrabbiyel berada di sekolah.
“Saya begitu risau apabila
mendapati Nurrabbiyel tidak berada di sekolah ketika saya menjemputnya pulang
dengan motosikal seperti kebiasaan.
“Setelah mengetahui
kehilangannya, saya kemudiannya pergi mencari di sekitar kawasan dan
kemudiannya diberitahu ada kejadian lemas melibatkan kanak-kanak di taman
perumahan ini.
“Atas naluri seorang bapa,
saya kemudiannya pergi meninjau di taman ini dan rupa-rupanya salah seorang
mangsa adalah anak saya,” katanya yang sebak mengenangkan kehilangan anak
keenamnya itu.
SEBAK....Ahli
keluarga salah seorang mangsa tidak dapat menahan sebak ekoran kejadian itu.
Kedua-dua mayat mangsa
kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk proses siasatan lanjut serta
tuntutan.
Dalam pada itu, Ketua Polis
Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi
mengesahkan kejadian itu.
“Hasil siasatan kita
mendapati kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka pergi berenang di
lokasi berkenaan.
“Tiada unsur jenayah berlaku
dalam kejadian ini kerana kedua-dua mangsa telah lemas ketika mandi laut,”
katanya.
Ratan turut menasihatkan
kepada ibu bapa supaya sentiasa peka dengan pergerakan anak mereka terutamanya
ketika musim cuti sekolah bagi mengelak kejadian seumpama daripada terjadi di
masa hadapan. (UB)
No comments:
Post a Comment