Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
KUALA LUMPUR : Pembangkang
melihat tindakan Putrajaya sengaja melengah-lengahkan pembentangan Laporan
Ketua Audit Negara 2011, yang sepatutnya dibentangkan serentak ketika
pembentangan Bajet 2013 pada Jumaat, 28 September ini adalah satu cubaan untuk
mengelakkan pemimpin pembangkang merujuk kepada laporan audit berkenaan ketika
pembentangan bajet.
Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim hari ini menegaskan adalah sangat 'tidak wajar' kerana beliau
melihat tindakan itu sebagai taktik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno mengalihkan
kesempatan ahli Parlimen membahaskan laporan kewangan tersebut.
“Ini sangat tidak wajar,
kerajaan cuba alih kesempatan ahli Parlimen bahas laporan kewangan tersebut. Laporan
itu sangat penting, ia menilai prestasi kewangan yang dikeluarkan Ketua Audit
Negara,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen hari ini.
Azmin mendakwa kerajaan cuba
tutup kelemahan dan salah guna kuasa kerana biasanya Laporan Ketua Audit Negara
dibentangkan pada hari pembentangan bajet Negara.
“Ini adalah taktik Umno-BN
untuk elak ahli Parlimen melihat (laporan audit) ini dan menangguhkannya
sehingga selepas belanjawan dibentangkan,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh
ini lagi.
Sementara itu, Timbalan
Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan laporan audit itu juga sengaja
dilewatkan kerana kerajaan cuba menutup kelemahan tadbir urus negara.
Ahli Parlimen Gombak ini
menegaskan, dengan melengah-lengahkan pembentangan laporan berkenaan, kerajaan
jelasnya cuba untuk mengalihkan pandangan ahli parlimen daripada melihat fakta
yang akan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
“Laporan audit itu perlu
keluar serentak dengan pembentangan bajet... kerajaan sengaja (ingin) menutup
kelemahan dengan lengahkan bentang Laporan Ketua Audit Negara 2011, kata Azmin
lagi.
“Pihak kerajaan cuba tutup
kelemahan dan salah guna kuasa kerana biasanya Laporan Ketua Audit Negara
dibentangkan pada hari pembentangan bajet negara untuk membolehkan ahli
Parlimen mengunakannya sebagai asas perbahasan di Dewan Rakyat.
“Maknanya kerajaan cuba alih
pandangan ahli Parlimen daripada melihat fakta, laporan ini penting, kita tak
mahu bahas dengan tuduhan tidak berasas,” katanya ketika ditemui di Lobi
Parlimen di sini.
Jelas Azmin, laporan audit
berkenaan akan mendedahkan sama ada prosedur kewangan negara dilaksanakan
dengan betul atau terdapat salah guna kuasa, justeru beliau mempersoalkan
tindakan kerajaan melengah-lengahkan pembentangan berkenaan.
“Saya lontarkan pertanyaan
kepada (Datuk Seri) Nazri (Aziz) kenapa ini berlaku, kerana ia dilihat ada
agenda tersembunyi sedangkan kerajaan yang. melaungkan ingin melakukan
transformasi perlu lebih terbuka dan tidak menggunakan alasan untuk tutup
kelemahan dan penyelewengan pada tempoh kewangan tahun lalu,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kepada pemberita
dokumen itu hanya akan dibentangkan di Dewan Rakyat “seminggu hingga dua
minggu” selepas pembentangan Belanjawan Jumaat.
“Laporan itu sudah siap.
Namun, ia tidak akan dibentangkan di Dewan Rakyat serentak (dengan Belanjawan
2013) kerana laporan audit ini akan mempunyai lebih banyak berita daripada
belanjawan.
“Jadi, apa yang akan kita
laksanakan adalah laporan audit ini akan dibentangkan seminggu dua kemudian
namun masih ada masa lagi untuk ahli Parlimen bahaskannya,” kata ahli Parlimen
Padang Rengas itu lagi.
Laporan Ketua Audit Negara
biasanya akan dibentangkan bersama-sama dengan belanjawan namun kerajaan telah
melengahkannya tahun lalu, walaupun terdapat bantahan dan protes daripada
pemimpin pembangkang.
Skandal Pusat Fidlot
Nasional (NFC) juga turut didedahkan melalui laporan audit tersebut yang mana
turut mengaitkan suami dan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga
dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil. (TMI)
No comments:
Post a Comment