SEREMBAN : Bernikah secara
batin dan perlu melakukan hubungan seks selama 100 hari. Itulah syarat
ditetapkan seorang bomoh terhadap pesakit wanitanya bagi mengubat penyakit
dihadapi.
Bomoh berusia 48 tahun
mengenakan caj RM200 terhadap pesakit dan dipercayai melakukan pukau sebelum
menjalankan upacara pernikahan.
Dengan memegang sebuah kitab
suci al-Quran, bomoh berkenaan akan memegang tangan pesakit dan mengucap akad
‘Aku nikahkan dikau dengan aku berserta fidyah’.
Bagaimanapun, tindakan bomoh
warga tempatan itu terbongkar apabila dicekup Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Negeri Sembilan (JHEAINS) di rumah pesakitnya di Kampung LB Johnson, dekat
sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam
12.30 tengah hari itu, bomoh terbabit ditahan sebaik saja selesai bernikah
batin dengan seorang wanita berusia 24 tahun yang mengalami masalah kesihatan.
Serbuan diketuai Ketua Unit
Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah bersama 15
anggotanya hasil risikan dan maklumat orang awam.
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, ketika serbuan,
bomoh bersama pasangannya itu berada dalam bilik hanya memakai pakaian dalam dipercayai
mahu melakukan hubungan seks, selepas upacara nikah batin selesai.
“Upacara nikah batin
dilakukan bomoh berkenaan tanpa saksi. Dia hanya menggunakan kitab suci
al-Quran dan diikuti bacaan mantera.
“Pesakit dikenakan bayaran
untuk setiap upacara nikah batin. Selain membaca akad dan mantera, pesakit
perlu melakukan hubungan seks bersama bomoh itu selama 100 hari sebagai syarat
untuk menyembuhkan penyakit,” katanya.
Menurutnya, bomoh berkenaan
sudah mempunyai isteri dipercayai datang dari Kuala Lumpur dan berasal dari
negara jiran, namun mendapat kerakyatan di negara ini.
“Dia datang ke rumah wanita
yang tinggal bersendirian itu kononnya mahu mengubati penyakitnya,” katanya
pada sidang media Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, semalam.
Ahmad Husaini berkata, bomoh
yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai sudah lama bergiat aktif dalam
kegiatan tidak bermoral itu.
“Dia cuba mengaburi mangsa
dengan mendakwa mampu menyembuh penyakit dan dipercayai menggunakan ilmu pukau
supaya mangsa berada dalam keadaan tidak sedar ketika upacara itu dilakukan,”
katanya.
Beliau berkata, bomoh
tersebut kini ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini,
hari ini.
“Dia akan didakwa mengikut
Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mencela agama Islam,
Seksyen 50 enakmen yang sama kerana menggunakan ayat al-Quran secara salah dan
Seksyen 77 kerana memikat dan melarikan gadis untuk tujuan seks,” katanya.
Menurutnya, JHEAINS percaya
terdapat beberapa individu lain yang terlibat dan sedang mengenal pasti mangsa
yang pernah dinikahinya sebelum ini, termasuk di negeri-negeri lain. (SinarHarian)
No comments:
Post a Comment