KUALA LUMPUR : Malaysia
menggesa semua pihak yang terlibat dalam kemelut di Syria segera menghentikan
pertempuran dan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk berhubung
kemanusiaan serta hak asasi manusia.
Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman berkata Kuala Lumpur terkejut dengan keganasan berterusan yang
melanda Syria, sehingga menyebabkan orang yang tidak bersalah terkorban selain
kerosakan harta benda.
“Tidak syak lagi situasi di
Syria adalah serius dan menuntut perhatian segera kita,” katanya dalam satu
kenyataan yang dihantar pada perbahasan umum Sidang Kemuncak ke-16 Ketua Negara
dan Kerajaan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang berlangsung di
Tehran, Iran pada 30 dan 31 Ogos.
Beliau berkata dalam mencari
penyelesaian politik yang berkekalan, prinsip asas NAM perlu dipatuhi iaitu
membenarkan Syria menentukan nasibnya sendiri.
Dalam perkembangan lain,
Anifah berkata piawaian antarabangsa berhubung hak asasi manusia perlu
mengambil kira kepelbagaian budaya di sesebuah negara.
“Kita tidak seharusnya
membiarkan orang lain memaksakan nilai serta norma mereka kepada kita.
“Sebaliknya, kita harus
memupuk pemahaman, rasa hormat dan penerimaan yang lebih baik terhadap
kepelbagaian budaya dalam membentuk piawaian hak asasi manusia,” katanya.
Kenyataan itu juga menyentuh
isu seperti Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Palestin selain reformasi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta institusi kewangan antarabangsa. Pada
sidang kemuncak itu, jawatan pengerusi NAM diserahkan Mesir kepada Iran.
Di luar sidang itu, Anifah
bertemu rakan sejawatan dari Iran dan Myanmar, iaitu Dr Ali Akbar Salehi serta
Wunna Maung Lwin, bagi membincangkan isu dua hala.
Menurut kenyataan
Kementerian Luar, inisiatif Malaysia berhubung GMM diterima baik oleh NAM dan
perkara itu diterjemahkan dalam Dokumen Muktamad Sidang Kemuncak ke-16 NAM.
Selain itu, sidang turut
memperaku Deklarasi Tehran, Pelan Tindakan Tehran 2012-2015, Deklarasi
Solidariti Mengenai Palestin dan Deklarasi Tahanan Politik di Palestin. (Bernama)
No comments:
Post a Comment