PERBEZAAN harga Rapid
Intervention Vehicle (RIV) yang diutarakan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam
titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata
kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya
sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim yang juga Kolonel
Komandan Rejimen Gerak Khas.
"Kementerian Pertahanan
mengambil maklum terhadap komen baginda dengan cara positif di mana saya
sendiri akan lakukan penyiasatan terhadap perbezaan di antara harga RIV yang
dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000
yang dijual oleh pihak pembekal.
"Mungkin terdapat
spesifikasi yang berbeda yang akan saya teliti," katanya kepada pemberita
ketika mengulas mengenai titah Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen
Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor Sabtu lepas.
Ahmad Zahid yang ditemui
selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Staf Angkatan Tentera Republik
China, Jeneral Ma Xiaotian di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, berkata
beliau menghargai pandangan tersebut dan sekali gus menunjukkan keprihatinan
baginda terhadap peralatan yang sedang dan terus digunakan oleh Rejimen Gerak
Khas.
"Keprihatinan ini adalah
suatu yang perlu dihargai oleh kementerian (pertahanan) dan tentunya akan
diambil kira sebagai panduan terutamanya dalam pembelian aset-aset dan
peralatan di bawah naungan baginda," katanya.
Sultan Johor Sultan Ibrahim
pada Sabtu lepas melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang
dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak
bermutu dan tidak menepati spesifikasi.
Baginda bertitah dalam usaha
kerajaan mengawal belanjawan dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan
hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan
yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang tinggi.
Di samping itu Sultan Johor
juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar tidak mengambil kesempatan dalam
usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini.
"...janganlah bekalkan
peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat kali
ganda," titah Sultan Ibrahim. (Bernama)
No comments:
Post a Comment