Saudara Pengarang,
KAMI masyarakat Daerah Kunak
mahukan calon Parti Barisan Nasional (BN) kawasan ADUN N.51 Kunak akan datang
di Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13), dipilih daripada kalangan anak tempatan
kelahiran Kunak sendiri tanpa calon dari luar daerah.
Bagaimanapun, calon tersebut
haruslah mempunyai rumah sendiri sejak dari dulu lagi dan yang mempunyai latar
belakang yang bersih dan berpendidikan tinggi; sekurang-kurangnya mempunyai
segulung Ijazah dan tidak terlibat dengan sebarang kes-kes jenayah dan juga
tidak terlibat dengan kes pencerobohan tanah.
Kami juga menolak
sekeras-kerasnya kehadiran orang luar yang ingin menjadi calon BN di kawasan
kami di ADUN N.51 Kunak. Kami terhidu bau-bau bacang bahawa terdapat orang luar
yang kini giat melobi untuk menjadi calon BN di N.51 Kunak.
Mengikut daripada pengalaman
kami, sejak berdekad lamanya, orang ini hanya ingin mengaut keuntungan tanpa
menghiraukan kesengsaraan masyarakat di Daerah Kunak.
Mereka ini akan membawa kuncu-kuncu
mereka datang ke daerah ini mengambil harta-harta hak orang Kunak, terutama apabila
sudah menang dan menjadi pemimpin.
Perkara ini pernah terjadi sebelum ini kerana masyarakat Kunak pada masa
itu tidak mempunyai calon yang berkaliber, tetapi kini tidak lagi.
Anak-anak Kunak kini sudah
ada yang berpendidikan tinggi dan berkaliber dalam pentadbiran daerah. Hanya
anak jati Kunak yang tahu apa yang diperlukan untuk daerah Kunak dan bukannya
orang luar. “Bagaikan Ibu-bapa yang
baik, tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya”.
Walau apapun, kami tahu
sekiranya orang Kunak, orang kami memimpin kami, dia tidak akan sanggup membawa
harta yang sepatutnya untuk rakyat, dibawa keluar untuk dijadikan kepentingan
peribadi seperti yang berlaku kepada calon-calon dari luar (orang dari luar
Daerah Kunak) sebelum ini.
Kami menyokong dengan padu
sekiranya calon yang dipilih kelak bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dari
golongan anak-anak jati Daerah Kunak.
Tetapi sekiranya calon yang dipilih itu dari golongan orang-orang luar
Daerah Kunak, kami akan memberontak dengan tidak akan keluar mengundi kerana
kami tahu ia bukan untuk kepentingan kami, tetapi hanya untuk memenuhkan nafsu
serakah mereka.
Kami mohon kepada anda
semua, berilah kami peluang mentadbir daerah kami sendiri di bawah panji-panji
BN. Kami baru sahaja mengorak langkah
menuju pembangunan dan jangan matikan apa yang sepatutnya menjadi hak
kami. Sempena Kemerdekaan Malaysia yang
ke-55 ini, kami berharap dapat ditadbir oleh orang kami sendiri (Merdeka! Merdeka!
Merdeka!).
Salam Hormat,
ANAK JATI KUNAK
No comments:
Post a Comment