Friday, 14 September 2012

KDCA KECAM SUARA PAKATAN RAKYAT




Oleh : ROZIE JUMAT

PERSATUAN Kebudayaan Kadazan Sabah (KDCA) bersama persatuan-persatuan berasaskan kaum KDM di Sabah mengecam keras artikel dalam blog 'Suara Pakatan Rakyat' yang mempersenda dan memperkecilkan Tarian Sumazau dengan membuat kenyataan menghina yang menggambarkan masyarakat KDM sebagai minoriti dan tidak penting dalam arena politik negara.

Artikel ini jelas mengguris perasaan masyarakat KDM sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia.

Oleh itu KDCA bersama persatuan berasaskan kaum KDM meminta pihak berkuasa memburu penulis blog berkenaan atau kumpulan yang bertanggungjawab terhadap artikel dan segera membawa mereka ke muka pengadilan.

Pada 11 September 2012, pihak KDCA di ibu pejabat telah menerima panggilan yang bertali arus berkaitan dengan artikel dalam blog 'Suara Pakatan Rakyat' yang mempersendakan Tarian Sumazau.

“Selepas kami meneliti catatan dalam blog itu, jelas sekali kenyataan itu adalah menghina dan tidak menghormati keseluruhan masyarakat Kadazandusun Murut yang bertentangan dengan aspirasi Gagasan 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan nasional.”

Artikel itu adalah artikel yang benar-benar menyinggung perasaan  dan mengguris hati masyarakat KDM dan rakyat negeri Sabah.

Ekoran daripada itu, KDCA telah membuat laporan polis di Balai Polis Penampang pada 13  September 2012 berhubung dengan artikel berkenaan.

Pihak KDCA telah mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan kebudayaan berasaskan KDM dan membincangkan perkara itu, dan semua pihak menyokong serta sepakat mengecam tindakan yang tidak bertanggungjawab itu.

Antara persatuan yang menyatakan sokongan itu (Sehingga 14  September) itu ialah:

1.       Persatuan Kebudayaan Tatana Kuala Penyu.
2.       Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Anak Negeri Sabah (PANAS).
3.       Persatuan Tombonuo Sabah.
4.       United Sabah Tindal Organisation (USTO).
5.       Persatuan Suang Lotud Sabah.
6.       Sabah Rungus Association (RCA)
7.       Pertubuhan Komuniti Momogun.
8.       Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin).
9.       Persatuan Kimaragang Sabah.

10.   Persatuan Keluarga Keranaan Liwan Sabah (Sakag)
11.   Persatuan Sino-Kadazandusun Sabah.


“Sama seperti kita menghormati budaya masyarakat lain di negara ini, masyarakat KDM juga mengharap agar budaya termasuk tarian sumazau dihormati oleh kaum lain dengan aspirasi gagasan 1Malaysia”.

Blog tersebut telah merendahkan moral dan menghina budaya masyarakat KDM. Itu tidak masuk akal. Nampaknya blog ini telah ditulis dengan sengajanya dan bertentangan dengan usaha untuk menjalinkan hubungan yang  baik antara satu dengan yang lain (masyarakat majmuk).

Kita minta pihak Polis membuat penyiasatan dengan sepenuhnya untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Masyarakat KDM tidak dapat menerima penghinaan ini.

Artikel itu juga jelas menghina pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak dan Datuk Rosmah Mansor yang telah mengambil bahagian menari Sumazau semasa menjayakan Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan di Keningau.
Dakwaan Tarian Sumazau 'hanya untuk golongan rendah akhlak' telah memalukan masyarakat KDM dan Anak Negeri Sabah.

 Artikel itu betul-betul memalukan dan sangat serius. Kami tidak dapat terima dan mesti disiasat. Pengendali blog ini mesti diambil tindakan dengan sewajarnya.

Tarian Sumazau adalah sejenis tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang diwarisi dari generasi ke generasi yang lain.

Tarian ini sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei, yang disambut oleh seluruh rakyat Sabah di peringkat Negeri dan Peringkat Kebangsaan.

Ilham tarian sumazau adalah dari corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter dari penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian Sumazau biasa dipertonton atau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaa, dimana ia juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment