LAPORAN
… Presiden GGBS, Edwin (tengah) di hadapan balai polis selepas membuat laporan
terhadap akaun facebook yang menghina suku kaum di negeri Sabah.
Oleh : ROZIE JUMAT
KENINGAU : Persatuan Gerakan
Generasi Baru Sook (GGBS) yang berpengkalan di Daerah Kecil Sook telah membuat
laporan polis terhadap satu akaun Facebook yang telah menimbulkan kebencian
kepada bangsa Dusun.
Presiden GGBS, Edwin Laimin
berkata, akaun facebook Anti Dusun itu
telah jelas menimbulkan sensitiviti kaum dengan mensasarkan bangsa Dusun
sebagai bahan kejian dan hinaan.
“Kami tidak selesa dan
menentang keras kewujudan laman sosial tersebut yang mungkin diselanggarakan
oleh individu atau kumpulan-kumpulan
tertentu yang cuba meniupkan api permusuhan,” kata Edwin yang membuat
laporan polis di Pejabat Polis Daerah Keningau, di sini.
Menurutnya, akaun tersebut
dengan nama ‘Say Fuck To Dusun People’ adalah
satu akaun yang membuat penghinaan kepada kaum tertentu di negeri Sabah dan
tidak mustahil bangsa lain di negeri ini menjadi sasaran seterusnya jika tidak
diambil tindakan dari pihak kerajaan.
“Laporan GGBS ini meminta
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyiasat seterusnya membuat
tindakan kepada mereka yang terlibat kerana dengan jelas akaun itu mempersenda
serta menghina bangsa lain. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia kita hidup aman
dan harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia,” kata Edwin, yang disertai oleh
ahli-ahli GGBS di sini.
Dalam pada itu kata Edwin,
masyarakat Dusun harus bersatu agar jangan terpedaya dengan provokasi yang
mungkin dimainkan oleh individu atau kumpulan tertentu.
“Mungkin hari ini bangsa
atau suku Dusun dimainkan, esok mungkin suku lain dan mungkin juga terdapat isu
yang boleh membuatkan Bumiputera bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri.
Ingatlah bahawa ia akan merugikan semua pihak dan generasi kita akan ketinggalan
kepada bangsa-bangsa lain. Teruskan bersatu di bawah persatuan untuk membela
generasi akan datang...,” ujar Edwin.
No comments:
Post a Comment